am@hmetro.com.my
Seremban: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan Setiausaha Akhbar Menteri Besar Ahmad Shahir Mohd Shah dan sebuah akhbar kerajaan Negeri Sembilan untuk membayar ganti rugi am berjumlah RM200,000 serta kos sebanyak RM35,000 kepada Yang Dipertua PAS Kawasan Seremban, Rosmin Adam.
Ia berhubung penerbitan berunsur fitnah terhadap plantif, dua tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris menerusi sidang video yang dihadiri peguam plantif Muhammad Rafique Rashid Ali, Akif Rusli dan Muhammad Amirul Ar Rasyid Azman serta Muhammad Faizal Abdullah yang mewakili defendan.
Muhammad Rafique dalam kenyataan memaklumkan, mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keseluruhan keterangan saksi-saksi serta meneliti dokumen yang dikemukakan.
“Pada jam 3.15 petang hari ini, mahkamah telah memutuskan keputusan memihak kepada anak guam kami, dalam tindakan saman fitnah terhadap penerbitan akhbar Negeri Kita yang merupakan lidah rasmi Kerajaan Negeri Sembilan dan Ketua Editornya yang juga merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar.
“Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mempertimbangkan hujahan dan autoriti undang-undang daripada kedua-dua pihak sepanjang perbicaraan penuh.
“Mahkamah telah memutuskan bahawa penerbitan yang menjadi subjek tindakan ini adalah bersifat fitnah terhadap plaintif dan bahawa pihak defendan gagal mewajarkan penerbitan tersebut melalui pembelaan-pembelaan yang dibangkitkan,” katanya.
Jelas beliau, keputusan itu mengingatkan semua pihak bahawa setiap penerbitan, sama ada dalam bentuk media cetak, media sosial atau platform digital, hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta menghormati hak dan maruah individu lain.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang aset atau lidah rasmi kerajaan Negeri Sembilan tidak wajar digunakan untuk kepentingan politik mahupun senjata pena bagi menekan pihak lawan.
“Ia sewajarnya digunakan untuk menyebarkan informasi atau isu-isu semasa yang sahih sumbernya.
“Bagi pihak anak guam kami, kami merakamkan penghargaan kepada mahkamah atas pertimbangan yang diberikan terhadap fakta dan undang-undang dalam kes ini,” katanya.
Sementara itu, Rosmin ketika dihubungi meluahkan rasa syukur dan lega kerana dapat membersihkan namanya daripada fitnah berkenaan selepas kira-kira dua tahun perbicaraan berjalan.
“Saya rasa lega, ini adalah detik manis untuk saya kerana sebelum ini saya dituduh sebagai orang yang memfitnah dan tersebar satu Malaysia,” katanya
Sementara itu, Ahmad Shahir berkata, pasukan peguamnya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu.
Beliau menghormati keputusan mahkamah, namun percaya ruang rayuan wajar digunakan untuk mendapatkan pengadilan yang sewajarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




