Ribuan tunjuk perasaan kesamaan jantina di Perth

Ribuan tunjuk perasaan kesamaan jantina di Perth

SYDNEY: Ribuan menyatakan bantahan di Perth, sehingga memulakan kempen di seluruh negara mengenai kesamaan jantina susulan dakwaan rogol membabitkan kepemimpinan utama.

Bandar di barat Australia itu turut melancarkan #March4Justice (#Keadilan4Mac), disusuli perarakan orang ramai yang mendesak supaya perilaku jijik sedemikian dan keganasan seksual terhadap wanita dihentikan serta-merta.

Lebih 40 demonstrasi akan diadakan di seluruh negara, esok termasuk di luar perkarangan Parlimen, dekat Canberra yang terpalit dengan dakwaan insiden serangan seksual, beberapa minggu lalu.

Bekas penjawat kerajaan, Brittany Higgins, bulan lalu, secara terbuka mendakwa bahawa dia dirogol oleh rakan sekerja di pejabat menteri, sebelum pilihan raya 2019.

Bagaimanapun, Higgins dianggap mempunyai masalah politik selepas memaklumkan insiden serangan seksual itu kepada majikannya. Peguam Negara, Christian Porter, yang berasal dari Perth, sebelum ini turut didakwa merogol remaja perempuan berusia 16 tahun pada 1998, ketika kedua-duanya masih belajar.

Disebabkan Porter menafikan dakwaan berkenaan, remaja perempuan itu membuat laporan polis sebelum kematiannya tahun lalu dan siasatan terbabit ditutup.

Pelbagai kes sedemikian mengundang kemarahan dalam kalangan masyarakat, malah kerajaan dilihat gagal merungkai masalah itu sehingga menyebabkan orang ramai berhimpun di jalanan bagi menuntut keadilan.

Perempuan orang asal Noongar, Dallas Phillips, antara yang berucap di Perth, dengan menggambarkan mangsa terpaksa memendam kemarahan akibat perilaku penyerang seksual.

“Saya ‘tabik’ Brittany Higgins dan wanita lain yang menyatakan isu ini serta membuat pendirian tegas.

“Negara ini dilanda epidemik seksism, kebencian terhadap wanita, keistimewaan dan hak lelaki. Berbanding epidemik ini, COVID-19 sekadar perkara remeh,” katanya seperti dilaporkan WAToday.

Dihimpit tekanan pelbagai pihak, Perdana Menteri, Scott Morrison, menyatakan kesediaan untuk berjumpa dengan delegasi daripada gerakan berkaitan, selain komited dalam merungkai isu berkenaan.

“Ketika ini, isu keganasan terhadap wanita terus menjadi keutamaan kerajaaan saya,” katanya kepada pemberita di Sydney.

Morrison setakat ini sudah mengarahkan supaya suatu siasatan bebas dibuat mengenai budaya bekerja di Parlimen. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top