am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Umpama tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya, begitulah situasi Nur Farhana Abd Kadir dan adiknya, Nur Shakilah apabila berjaya menguasai teknik menghasilkan kain serta blok batik yang diusahakan sejak enam tahun lalu.
Menurut Nur Farhana, 31, dia bersama adiknya bermula tanpa sebarang pengetahuan mengenai kaedah untuk menghasilkan batik dan boleh diibaratkan sebagai ‘bidang terjun’.
Katanya, kesungguhan membuatkan dia dan adiknya nekad untuk terus mendalami ilmu secara asas dalam penghasilan kain batik bagi tujuan komersial.
“Saya bersama adik bermula dari ‘kosong’, membuat kain batik bukan bidang kami namun tetap berusaha sedikit demi sedikit termasuk menghadiri kelas untuk mempelajari teknik menghasilkan kain batik berkualiti tinggi.
“Selepas berjaya menguasai teknik pembuatan batik, saya beralih kepada penghasilan blok batik kerana tanpa blok, sudah pasti kain batik tidak dapat dihasilkan,” katanya yang mempunyai ijazah sarjana muda dalam jurusan pemasaran.
Menurutnya, ketika di awal pembabitan dalam pembuatan batik, dia terpaksa membeli blok dengan harga ratusan ringgit setiap satu.
Katanya, namun selepas mempelajari teknik membuat blok, dia kini mampu menghasilkan bloknya sendiri dengan pelbagai corak dan rekaan selain mampu menjualnya pula.
Tambahnya, untuk menghasilkan blok dia memerlukan timah dan kepingan besi yang kemudian dibentuk untuk dijadikan motif yang kebiasaannya bertemakan flora.
“Blok digunakan untuk menghasilkan motif pada kain batik agak sukar diperoleh dan harganya juga mahal justeru saya mengambil inisiatif untuk menghasilkan sendiri.
“Di Terengganu, masih ada yang menghasilkan blok batik namun setahu saya tidak ramai individu yang membuatnya,” katanya.
Menurutnya, walaupun menuntut dalam jurusan pemasaran dan adiknya dalam bidang maritim namun minat tidak menghalang mereka berdua mengusahakan bengkel penghasilan batik.
Adiknya, Nur Shakilah, 25, pula berkata, dia dan kakaknya sememangnya tidak mempunyai bakat dalam bidang pembuatan batik namun berkat kesungguhan mereka berdua akhirnya berjaya menguasai bidang itu.
“Kejayaan tidak datang bergolek, kami terpaksa belajar dan terus belajar untuk memahirkan diri kerana bukan mudah untuk menghasilkan batik berkualiti.
“Kebiasaannya blok yang dihasilkan bermotifkan flora dan kakak yang akan menghasilkan blok mengikut kreativitinya sendiri,” katanya yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Maritim.
Menurutnya, peringkat awal pembabitan, untuk menghasilkan 10 helai kain batik dalam tempoh sehari terlalu sukar.
Katanya, kini dalam sehari dia dan kakaknya mampu menghasilkan 80 hingga 100 helai kain bergantung kepada permintaan.
“Walaupun tidak mempunyai asas dan tidak didedahkan dengan pembuatan batik sejak kecil namun tekad kami berjaya mengubah persepsi ‘walaupun bukan bidang’ namun kami berjaya membuktikannya.
“Batik yang dihasilkan ini selain dijual untuk pasaran setempat, ia juga dipasarkan ke seluruh negara bergantung atas permintaan pelanggan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




