Penunggang motosikal parah dirempuh lori

Penunggang motosikal parah dirempuh lori

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki parah selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah lori terbabas yang hilang kawalan di lampu isyarat Jalan Serdang Raya di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan dua lori dan sebuah motosikal pukul 2.22 petang.

“Dalam kejadian pukul 1.15 petang, sebuah lori rigid hilang kawalan selepas melanggar bahagian belakang lori jenis Daihatsu yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

“Pelanggaran itu menyebabkan lori rigid terbabas lalu melanggar motosikal Suzuki ditunggang mangsa menyebabkan sebatang tiang lampu jatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anbalagan berkata, kedudukan mangsa sebelum kejadian masih dalam siasatan berikutan motosikalnya sudah diubah kedudukan oleh orang awam.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pihak trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

Scroll to Top