Prabowo pecat Ketua Badan Gizi Nasional

Prabowo pecat Ketua Badan Gizi Nasional

Jakarta: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada Selasa memecat Ketua Badan Gizi Nasional (BGN) Dadan Hindayana, jabatan yang mengendalikan program makanan berkhasiat percuma kepada pelajar sekolah bagi menangani isu kekurangan nutrisi.

Program itu yang dicetuskan Prabowo dilanda pelbagai masalah dan kontroversi dengan isu keracunan makanan dan dakwaan rasuah sejak ia dimulakan pada Januari tahun lalu.

Program yang mendapat publisiti meluas sebelum ini adalah kempen utama Prabowo ketika kempen Pilihan Raya Umum (PEMILU) 2024.

Susulan keputusan itu, Dadan yang juga pakar entomologi dan sudah menerajui agensi berkenaan sejak penubuhannya, digantikan oleh Timbalannya, Nanik Sudaryati Deyang, lapor CNA News.

Dua Timbalan Ketua BGN, Lodewijk Pusung dan Sony Sonjaya turut dipecat dan digantikan dengan Agustina Arumsari dan Mejar Jeneral Trenggono.

Pihak kerajaan menyatakan program berkenaan membekalkan makanan kepada lebih 61 juta penduduk setakat Mac lalu. Bagaimanapun, puluhan ribu pelajar dilaporkan jatuh sakit sejak program itu dilancarkan pada Januari 2025.

“Presiden Prabowo memutuskan untuk melakukan perubahan terhadap kepimpinan Badan Gizi Nasional,” kata Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi kepada pemberita di Jakarta, sambil memetik faktor kualiti makanan antara kebimbangan utama di sebalik tindakan berkenaan.

Sebelum ini, beberapa pihak menggesa program makanan berkhasiat percuma itu ditangguhkan serta-merta ekoran isu kebersihan dan dakwaan salah laku rasuah.

“Kerajaan akan terus memastikan sepanjang proses penilaian yang sedang berjalan ini, semua program berkenaan tetap berjalan seperti biasa,” tambah Prasetyo.

Bulan lalu, badan pemerhati antirasuah, Indonesia Corruption Watch (ICW) mengemukakan aduan terhadap Dadan berhubung dakwaan ketidakpatuhan belanjawan.

Tahun lalu, Dadan memaklumkan kepada Parlimen bahawa program itu menjadi punca kepada 11,000 kes keracunan makanan, dengan lebih 600 mangsa terpaksa dimasukkan ke hospital.

Prabowo turut mengakui kewujudan masalah berkenaan dan berikrar akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Ketika ini, lebih 20 peratus kanak-kanak di Indonesia terkesan dengan masalah bantut akibat kekurangan zat makanan yang teruk.

Kerajaan sebelum ini menyasarkan skim berkenaan dapat menyediakan makanan kepada 82.9 juta kanak-kanak serta ibu mengandung dan menyusukan anak yang merangkumi kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan populasi negara itu.

Bagaimanapun, program berkenaan menjadi antara peruntukan bajet terawal yang dipotong berikutan langkah Jakarta untuk mengimbangi impak ekonomi akibat peperangan di Asia Barat. I

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top