Atlet maut di pusat latihan, UK Athletics didenda RM1.87 juta

Atlet maut di pusat latihan, UK Athletics didenda RM1.87 juta

London: Badan induk olahraga, UK Athletics didenda £350,000 (RM1.87 juta) berserta kos perundangan £44,000 (RM235,591) oleh Mahkamah Old Bailey berhubung tragedi seorang atlet paralimpik yang maut dihempap peralatan sukan di sebuah pusat latihan di timur London.

Dalam kejadian pada 2017 itu, mangsa, Abdullah Hayayei yang juga atlet lontar peluru maut selepas sebuah sangkar logam tumbang ketika dia sedang menjalani latihan persediaan menjelang Kejohanan Olahraga Para Dunia.]

Dia sebelum itu pernah mewakili Emiriah Arab Bersatu (UAE) di temasya Sukan Paralimpik Rio bagi acara rejam lembing dan lontar peluru.

Hakim Richard Marks KC ketika prosiding menyifatkan kematian Hayayei sebagai satu tragedi, berlaku terlalu awal dan insiden yang sepatutnya boleh diel

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman khidmat masyarakat selama 175 jam terhadap bekas Ketua Sukan UKA, Keith Davies, 79 tahun.

Hukuman itu dijatuhkan selepas mahkamah mendapati Davies adalah individu yang bertanggungjawab ke atas peralatan berkenaan yang dipasang tanpa plat tapak (base plates) utama.

Terdahulu, mahkamah diberitahu tiupan angin kencang menyebabkan sangkar terbabit tumbang, dan mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala selepas dihempap palang logam yang berat.

Mangsa yang menghidap palsi serebrum (cerebral palsy) itu adalah pengguna kerusi roda berusia 36 tahun.

Lebih meruntun jiwa, mahkamah turut mendengar luahan balu mangsa, Badriah, yang memberitahu bahawa pemergian suaminya itu menyebabkan dia terpaksa membesarkan lima anak mereka yang masih kecil bersendirian.

Pada perbicaraan awal Februari lalu, UK Athletics mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat (corporate manslaughter), manakala Davies mengaku bersalah melanggar undang-undang kesihatan dan keselamatan.

Proses siasatan dan perundangan berhubung kematian tragis Hayayei ini mengambil masa hampir sedekad untuk diselesaikan sepenuhnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top