UMNO, BERSATU ada 'sinar di hujung terowong'

UMNO, BERSATU ada 'sinar di hujung terowong'

nfazlina@bh.com.my

KOTA BHARU: PAS yakin ‘hubungan dingin’ di antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mampu diselesaikan secara baik.

Namun, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ketiga-tiga parti perlu duduk bersama berbincang dan mencari jalan penyelesaian.

“Cahaya di hujung terowong masih ada,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada PAS bimbang dengan kemelut yang berlaku antara BERSATU dan UMNO.

Tuan Ibrahim berkata, PAS mengadakan mesyuarat dengan UMNO minggu lalu bagi mengeratkan kerjasama Muafakat Nasional (MN).

“Memang setiap minggu kita mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali. Mesyuarat berkenaan juga menyentuh soal pilihan raya umum (PRU), namun secara tidak langsung saja,” katanya.

Mengulas pemimpin politik melompat parti kerana ada kes rasuah dan mengelak didakwa, Tuan Ibrahim berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

“Saya fikir soal siasatan dan pihak berkuasa, kita berterus terang dan tidak akan berkompromi selain setiap tuduhan harus dibuktikan.

“Mahkamah mempunyai bidang kuasa dan harus siasat sekiranya benar mereka terbabit. Jangan kata bila lompat parti, terus membuat dakwaan sebegitu kerana ahli Parti Amanah Negara (AMANAH) dulu pun ramai yang lompat parti,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar keluar PKR kerana kekecewaan beliau terhadap situasi politik yang berlaku dalam negara ketika ini.

Beliau juga memaklumkan pendiriannya untuk menjadi ahli Parlimen bebas kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu surat yang bertarikh 12 Mac 2021.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top