‘Siapa sahaja yang dipecat akan cari Pas, Kelantan’

‘Siapa sahaja yang dipecat akan cari Pas, Kelantan’

TANAH MERAH – “Siapa sahaja yang dipecat akan mencari Pas dan Kelantan,” kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

“Tun Dr Mahathir Mohamad dipecat daripada UMNO, cari Pas. Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO, cari Pas.

“Kumpulan Reset yang diambil tindakan oleh Bersatu juga mencari Pas. Alhamdulillah,” katanya semasa Konvensyen Reset Malaysia yang diadakan di Tapak Ekspo, Taman Harmoni, di sini pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Gerakan Reset Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menteri Besar Kelantan itu mengibaratkan kemelut dalaman yang melanda Bersatu ketika ini seperti sebuah rumah yang kehilangan sebahagian besar tiangnya sehingga menjejaskan kestabilan keseluruhan struktur.

Beliau berkata, sesebuah organisasi politik akan berdepan risiko menjadi lemah sekiranya berlaku perpecahan dalaman dan kehilangan ramai pemimpin utama dalam tempoh yang singkat.

Menurut Mohd Nassuruddin, perkembangan yang berlaku dalam Bersatu, termasuk tindakan disiplin terhadap beberapa Ahli Parlimen parti itu, memberi gambaran bahawa parti berkenaan sedang berdepan cabaran besar untuk mengekalkan kekuatan sedia ada.

“Kalau sebuah rumah mempunyai 25 batang tiang, kemudian sebahagian besar tiang itu dibuang, sudah tentu rumah itu tidak lagi berada dalam keadaan kukuh.

“Walaupun struktur di bahagian atas masih kelihatan baik, apabila tiang-tiang utama sudah tiada, rumah itu akhirnya akan runtuh,” katanya.

Nassuruddin berkata, kekuatan sesebuah parti politik bukan sahaja bergantung kepada kepimpinan tertinggi, sebaliknya turut memerlukan sokongan dan kesatuan dalam kalangan ahli serta wakil rakyat.

Beliau mendakwa tindakan terhadap sejumlah Ahli Parlimen Bersatu telah memberi kesan kepada kestabilan parti itu dan menimbulkan persoalan mengenai masa depan kerjasama politik dalam blok pembangkang.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Pas sentiasa mengutamakan pendekatan yang menggalakkan penyatuan dan kerjasama politik, khususnya dalam usaha memperkukuh kekuatan pembangkang bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Scroll to Top