syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Seperti dijangka pemain naturalisasi ketiga, Guilherme de Paula antara 11 pemain baharu yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan di Johor Bahru bermula, 22 Mac ini.
Selain De Paula, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe turut memanggil seorang pemain berpangkalan di luar negara iaitu penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin dan bintang sedang meningkat Johor Darul Ta’zim (JDT), Ramadhan Saifullah Usman.
Muka baharu lain turut dipanggil menyertai kem latihan pusat selama sembilan hari itu adalah Rahadiazli Rahalim dan Faisal Halim (Terengganu FC), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United FC), Rizal Ghazali (Kedah Darul Aman FC), Irfan Zakaria (KL City FC), Fazly Mazlan (Sri Pahang FC), Nazmi Faiz Mansor (JDT) dan Shahrel Fikri Md Fauzi (Selangor FC).
Daripada 28 yang disenaraikan, Cheng Hoe mengekalkan 17 daripada skuad 23 pemain yang beraksi dalam dua perlawanan kelayakan terakhir sementara enam pemain lain digugurkan termasuk Safawi Rasid yang mengalami kecederaan.
“Saya tidak memanggil dua lagi pemain yang beraksi di kelab luar negara iaitu Liridon Krasniqi (Newcastle Jets) dan Junior Eldstal (Chonburi FC) kerana tempoh kuarantin untuk masuk ke Malaysia dan kembali ke Australia dan Thailand menjadi kesukaran untuk mereka menyertai kem latihan pusat kali ini.
“Lagi pun kedua-dua pemain ini saya lihat sedang meningkatkan persembahan dan prestasi masing-masing bersama kelab baharu mereka. Jadi saya kira lebih baik mereka menyertai kem latihan pusat pada Mei nanti dengan prestasi yang lebih baik selepas mendapat aksi minit permainan di Liga Australia dan Liga Thailand.
“Bagi Luqman Hakim pula, memang dari tahun lalu kita rancang memanggil dia sertai kem latihan pusat ini. Jadi ini peluang terbaik untuk kita melihat tahap fizikal, keyakinan dan corak permainannya selepas lebih enam bulan bersama KV Kortrijk di Belgium,” kata Cheng Hoe.
Dalam pada itu, enam pemain diletakkan dalam senarai menunggu jika terdapat mana-mana daripada 28 pemain yang berada dalam senarai dipanggil kali ini disahkan mengalami kecederaan oleh doktor pasukan.
Mereka adalah penjaga gol, Samuel Somerville (Penang FC), Rodney Celvin Akwensivie (KDA FC), Arif Fadzilah Abu Bakar dan Shahrul Nizam Ros Hasni (TFC), S Kumaahran (Melaka United FC) dan Darren Lok (PJ City FC).
© New Straits Times Press (M) Bhd




