Neymar atasi rekod Pele jadi penjaring terbanyak

Neymar atasi rekod Pele jadi penjaring terbanyak

MONTEVIDEO – Neymar mengatasi rekod Pele sebagai penjaring terbanyak Brazil apabila meledak dua gol dalam kemenangan 5-1 ke atas Bolivia dalam aksi kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan.

Penyerang 31 tahun itu terikat pada 77 gol dengan Pele sebelum perlawanan bermula dan mempunyai peluang memecahkan rekod pada minit ke-17 apabila Brazil diberikan sepakan penalti.

Bagaimanapun sepakannya diselamatkan penjaga gol Bolivia, Guillermo Viscarra. Tujuh minit kemudian, Brazil mendahului permainan menerusi Rodrygo.

Brazil menggandakan kedudukan selepas rehat menerusi Raphinha dan Neymar membantu gol ketiga apabila hantarannya dikuis oleh Bruno Guimaraes lalu disempurnakan oleh Rodrygo.

Neymar akhirnya berjaya mengatasi rekod Pele dengan gol ke-78 dalam 125 penampilan untuk negaranya.

Victor Abrego menjaringkan gol tunggal Bolivia sebelum Neymar menambah jaringan dalam masa kecederaan.

Bekas penyerang Barcelona berusia 31 tahun itu meninggalkan Paris Saint-Germain dan menyertai kelab Arab Saudi, Al-Hilal.

Pele meninggal dunia pada usia 82 tahun Disember lalu, meledak 77 gol untuk Brazil dalam 92 penampilan dari tahun 1957 hingga 1971.- Agensi

Scroll to Top