safeek@bh.com.my
Kuala Lumpur: Dua gudang penyimpanan bahan kimia pertanian musnah dalam kebakaran di Lot-5492, Jalan Raja Arfah, Segambut, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, gudang pertama yang berkeluasan 8,000 kaki persegi mengalami kemusnahan kira-kira 90 peratus, manakala gudang kedua berkeluasan 6,400 kaki persegi terbakar kira-kira 30 peratus.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur, menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi talian NG999.
“Susulan itu, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul bersama bantuan BBP Jinjang, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Sri Hartamas dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, Komander Operasi melaporkan kebakaran membabitkan dua unit gudang penyimpanan bahan kimia pertanian.
“Gudang pertama adalah gudang penyimpanan bahan racun perosak kalsium sulfat, manakala gudang kedua pula merupakan gudang penyimpanan baja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiada sebarang kemlangan jiwa membabitkan mangsa dilaporkan dalam kejadian ini.
Sementara itu, punca kebakaran masih dalam siasatan Unit Penyiasatan Kebakaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd

