Tapaw.com perluas pasaran produk

Tapaw.com perluas pasaran produk

Melaka: Syarikat penghantar barang, makanan dan logistik, Tapaw Group Sdn Bhd (Tapaw.com) menyasarkan lebih ramai peniaga jalanan mahupun usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) menggunakan aplikasinya bagi memperluaskan pasaran produknya.

Ketua Pegawai Eksekutif Tapaw.com Datuk Anuar A Rahman berkata, platform digital itu juga satu kaedah pemasaran yang semakin diterima ramai dan secara tidak langsung membantu golongan peniaga meneruskan kelangsungan dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19.

Katanya, perkhidmatan penghantaran dalam talian itu tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, malah di ceruk kampung untuk membantu golongan peniaga berkenaan dari segi ekonomi.

“Tidak kira sekecil manapun perniagaan mereka sama ada berniaga dari rumah atau menjual seekor kambing hidup, Tapaw.com menyediakan khidmat penghantaran terus kepada pelanggan mereka.

“Kami menawarkan penghantaran daripada pelbagai jenis perniagaan dengan pelbagai pengangkutan disediakan sama ada motosikal, kereta, van dan lori untuk memudahkan peniaga,” katanya selepas pelancaran Tapaw.com di Duyong di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Anuar berkata, menerusi platform itu, ia bukan sahaja membantu peniaga, malah turut membuka peluang pekerjaan kepada semua pihak khususnya belia untuk menjana pendapatan sampingan.

Katanya, setakat ini terdapat 100,000 penghantar di seluruh negara sejak Tapaw.com diperkenalkan pada November lalu dan pihaknya menyasarkan sebanyak 5,000 peserta mendaftar dengan syarikat itu.

“Dalam tempoh pasca pandemik Covid-19, ramai yang terkesan dan ada yang kehilangan pekerjaan, justeru, kami berharap mereka dapat memanfaatkan peluang ini untuk menjana pendapatan,” katanya.

Scroll to Top