KUANTAN – ANIH Berhad mengambil langkah-langkah segera memantau secara visual dalam usaha menangani isu kegagalan tambakan projek tebatan banjir di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) di KM 118.2 ke KM 117.8 arah ke Kuala Lumpur.
Menerusi kenyataan oleh pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) itu memaklumkan pihaknya akan menempatkan kakitangan operasi sepanjang 24 jam di tempat kejadian.
Setakat ini, katanya tiada pergerakan baharu yang direkodkan di kawasan kejadian namun, pihak syarikat dengan kerjasama kontraktor telah menempatkan penanda enapan (settlement marker) bagi meneruskan pemantauan keadaan semasa.
”Pada waktu siaran, ANIH Berhad serta pihak perunding sedang menjalankan kajian terperinci untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
”Kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan segera oleh pihak kontraktor setelah penyiasatan tapak secara menyeluruh selesai dilakukan dan cadangan pembaikan yang bersesuaian dikemukan oleh pihak jurutera perunding.
”Berdasarkan siasatan awal yang dijalankan pihak syarikat, terdapat kejadian resapan air bawah tanah di tapak projek yang menyebabkan runtuhan cerun tambak (fill slope) di kawasan kerja-kerja tebatan banjir dan mengakibatkan rekahan di permukaan jalan di kawasan bencana itu melibatkan lorong kecemasan dan sebahagian lorong perlahan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN :
Berlaku runtuhan cerun di kawasan tebatan banjir – LLM
Sebagai langkah segera, ANIH Berhad telah menutup sepenuhnya laluan ke Kuala Lumpur dan mengaktifkan sistem laluan kontra dari KM 116.5 sehingga KM 119.4 di laluan timur pada 4.15 petang semalam.
Ia dilakukan dengan kerjasama dua pasukan ERT dan pihak IPD Temerloh bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku di lokasi.
Justeru para pengguna dinasihati untuk merancang perjalanan mereka dan memandu secara berhemah serta mematuhi arahan petugas di lokasi.
Bagi mendapatkan informasi tepat dan terkini, para pengguna disarankan untuk mengikuti saluran rasmi media sosial ANIH Berhad di Facebook, Twitter atau hubungi LPT-Line di 1-700-818-700 atau LLM di 1800-88-7752. – MalaysiaGazette




