Sektor koperasi dijangka sumbang lima peratus KDNK

Sektor koperasi dijangka sumbang lima peratus KDNK

zahrin@bh.com.my 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyasarkan sumbangan sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan meningkat kepada lima peratus menjelang 2025.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata sasaran itu adalah berdasarkan kepada Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKom) bagi memperkasakan sektor itu di negara ini.

Beliau berkata, MEDAC turut mengunjurkan pendapatan sektor koperasi meningkat kepada RM60 bilion berbanding RM40 bilion ketika ini.

Katanya, sektor koperasi mempunyai potensi besar dalam sumbangan KDNK negara serta menjadi agenda tepat dalam pembangunan golongan B40 dan golongan sasar yang lain.

“Ketika ini, sektor koperasi hanya menyumbang sekitar tiga ke empat peratus kepada KDNK dan angka ini akan terus dipertingkatkan tahun ke tahun.

“Kerajaan juga menyasarkan pendapatan sektor ini akan melonjak kepada RM100 bilion menjelang 2030, seiring dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030. 

“Lantaran itu, MEDAC komited menerus serta memperkukuhkan sektor koperasi melalui TransKom,” katanya dalam taklimat media khas di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, antara agenda utama transformasi koperasi ini adalah pembangunan sektor koperasi agar menjadi medium dalam meningkatkan rantaian nilai ekonomi terutamanya kepada golongan sasar.

Beliau berkata, TransKom akan membantu meningkatkan tahap sosioekonomi dan kesejahteraan anggota koperasi, mengoptimumkan Kumpulan Wang Koperasi serta memudahkan pengawal seliaan termasuk dasar dan perundangan.

Katanya, ia bagi membolehkan sektor koperasi terbabit dalam perniagaan bernilai tinggi seperti pelaburan dalam syarikat tersenarai serta pembabitan dalam projek mega nasional dari segi kejuruteraan dan pembekalan.

“Kerajaan juga akan terus memperkasakan modal insan dan menarik lebih ramai golongan muda serta profesional menjadi ahli serta menubuhkan koperasi.

“Kita mahu menukar persepsi koperasi selama ini yang hanya dikenali sebagai pemberi pembiayaan semata-mata. Kita mahu  tingkatkan perniagaan dan pendapatan koperasi di Malaysia.

“Apabila pendapatan dipertingkat melalui kepelbagaian perniagaan, secara tidak langsung ia akan membantu meningkat pemberian semula kepada anggota,” katanya.

Wan Junaidi berkata, bagi menjadikan sektor koperasi sebagai penyumbang utama ekonomi negara, MEDAC turut akan meningkatkan peranan Institut Koperasi Malaysia (IKM) menjadi institusi pengajian tinggi.

Beliau berkata, ilmu dan kepakaran dalam koperasi serta Keusahawanan perlu dipupuk dari awal, lantaran itu peningkatan taraf IKM adalah perlu dalam situasi ketika ini.

TransKom adalah perancangan jangka masa lima tahun kementerian itu yang menggariskan matlamat dan langkah strategik komprehensif bagi memastikan Gerakan Koperasi dapat memberi manfaat lebih besar dan menyeluruh kepada kesejahteraan anggota ahli, masyarakat serta memastikan koperasi lebih berdaya saing, lestari serta mampan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melancarkan TransKom pada 30 Mac ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top