IPOH: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin tidak menolak kemungkinan bazar Ramadan dibenarkan tahun ini melihatkan hampir kesemua aktiviti ekonomi sudah dibenarkan beroperasi.
Beliau berkata, bagaimanapun perkara itu akan dibawa ke perbincangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya perlaksanaannya kelak lebih kemas dan efisyen dalam pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) mengekang wabak Covid-19.
“Saya rasakan dengan keadaan sekarang di mana kita sudah ‘release’ (membenarkan) semua aktiviti ekonomi termasuk pembukaan pasar-pasar lain, maka (bazar Ramadan) sudah (turut) boleh dibuka. (Cuma) mungkin SOP berkenaannya kita akan teliti lagi supaya lebih kemas dan efisyen.
“Tiada masalah dengan pembukaan pasar, jadi pasar boleh buka. Jadi Insya-Allah kita akan bincang (mengenai bazar Ramadan) dan ianya boleh dilaksanakan,” katanya kepada pemberita sewaktu sidang media Pelancaran Penggunaan Teknologi Sentuhan Rendah di Pasar Ayam Amanjaya, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizai Baharin.
Terdahulu media melaporkan beberapa negeri seperti Negeri Sembilan dan Melaka memberi bayangan untuk mengadakan bazar Ramadan bagi Ramadan tahun ini.
Pelancaran itu menyaksikan penggunaan aplikasi robotik dan kecerdasan buatan (AI) iaitu merangkumi tiga robot pembersihan dan satu sistem kawalan keselamatan AI melalui kerjasama strategik kementerian diterajui Zuraida dengan kementerian diterajui Khairy.
Zuraida berkata, ianya merupakan projek rintis cetusan empat syarikat tempatan yang seterusnya akan diterapkan ke pasar lain seawal-awalnya sebulan dari sekarang dalam usaha pembentukan pasar di negara ini yang lebih menepati piawaian.
Katanya, penggunaan teknologi sedemikian dijangka dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing serta meningkatkan produktiviti dan tahap kecekapan pengurusan logistik.
“Insya-Allah selepas ini ia akan diterapkan di pasar di bawah pentadbiran Majis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT). Namun setakat ini kita akan menyasarkan pasar yang baharu siap pembinaannya atau yang yang baharu dinaik taraf.
“Malahan selepas ini penggunaan teknologi moden tempatan di fasiliti pasar juga akan turut dimasukkan dalam pelan reka bentuk pasar baharu yang ingin dibangunkan agar berlaku intervensi teknologi hingga ke penjualan, logistik, pembayaran, poembersihan, pengurusan sisa, dan kelestarian alam,” katanya.




