KUALA LUMPUR – Sebuah lagu ciptaan bersama Imran Aqil, bekas peserta Hero Remaja 2020 dengan komposer dan penyanyi, Aiman Sidek yang diberi judul Bunga Dahlia telah dilancarkan hari ini.
Diterbitkan oleh 4U Entertainment, lagu Bunga Dahlia merupakan kolaborasi susulan selepas Imran membintangi muzik video lagu Cinta Sejati, ciptaan dan nyanyian Aiman Sidek yang telah mendapat jumlah tontonan lebih 15 juta di saluran Youtube 4U Entertainment.
Imran juga membuat penampilan dalam lagu Bunga Dahlia melalui sebuah puisi khas buat isteri tercinta, Dahlia Rizal.

“Lagu Bunga Dahlia adalah curahan hati saya kepada bakal isteri, Dahlia Rizal, ketika ianya ditulis. Kini, kami telah menjadi pasangan yang sah membuatkan setiap bait dalam lagu ini menjadi semakin bermakna kepada saya untuk Dahlia.
“Diharapkan agar semua dapat mendoakan kebahagiaan kami sampai ke hujung nyawa, seperti yang dititipkan dalam bait-bait lagu ini,” jelas Imran Aqil.

Sementara itu, Aiman Sidek, penyanyi dan penulis bersama lagu ini berkata: “Bunga Dahlia berkisar tentang keinginan seorang pencinta yang mencurahkan segala rasa dan perasaannya kepada kekasih hatinya, Dahlia dimetaforakan sebagai sekuntum bunga yang sentiasa mekar dalam jiwa Imran.
Pelakon, pengacara dan bekas penyampai radio lelaki radio ini selamat diijabkabulkan dengan Dahlia, seorang pempegaruh media sosial terkenal, juga sebagai seorang model untuk koleksi hijab, pada 9 September 2023 lalu selepas hampir lebih setahun pertunangan mereka.
“Seusai pertunangan Imran pada tahun lepas, kami telah mengadakan perbincangan dengan Imran untuk menjayakan kejutan bermakna sempena perkahwinan mereka.
“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar,” menurut Meor Alfaizal dan Raja Azraff yang merupakan Penerbit Eksekutif bagi pihak 4U Entertainment. – MalaysiaGazette




