“Jangan Jadi Artis Glamor Tapi Tidak Berilmu” – Awie Utamakan Pendidikan Anak

“Jangan Jadi Artis Glamor Tapi Tidak Berilmu” – Awie Utamakan Pendidikan Anak

Penyanyi Datuk Awie berkata dia tetap mementingkan pendidikan buat anaknya, Putra Ahmad Merrah yang kini sedang mencipta nama dalam dunia seni.

Memetik BH Online, Awie berkata dia tidak pernah menghalang minat anaknya dalam dunia seni namun pendidikan menjadi keutamaan sebelum mengejar populariti.

BACA: Amy Search Lebih Layak, Awie Tolak Gelaran ‘Raja Rock Negara’ 

“Saya bukan mahu memutuskan kerjaya seni Merrah. Dia masih boleh bermain gitar, dram, menyanyi dan berlakon. Itu memang minat dia.

“Tetapi perkara pertama yang saya mahukan daripada dia ialah pelajaran dan fokus kepada pengajian.

“Saya mahu tengok dia tamatkan pengajian dan tunjuk sijil atau ijazah kepada saya. Jangan jadi artis yang sekadar glamor atau ada nama, tetapi tidak berilmu,” katanya.

Sementara itu, Awie berkata Merrah sudah berjanji untuk memperlahankan aktiviti seni buat sementara waktu bagi memberi tumpuan terhadap pelajaran.

“Saya tidak sekat. Kalau ada undangan hujung minggu masih boleh lagi. Dua minggu atau sebulan sekali dua tiada masalah, cuma jangan terlalu padat sampai pelajaran terabai.

“Saya mahu Merrah berjaya seperti kakak-kakaknya. Insya-Allah dia sudah berjanji dan saya pegang janji itu,” katanya.

Dalam pada itu, Awie berkata dia tidak mahu melihat anak-anaknya melalui kesukaran yang pernah dilaluinya satu ketika dahulu.

“Jangan ikut langkah saya sebab saya melalui proses yang susah. Saya tak mahu anak-anak lalui perkara sama. Sekarang zaman moden dan teknologi. Ini zaman semua orang ada sijil dan pelajaran.

“Kita perlu hidup ikut keadaan semasa. Jadilah bijak dan orang akan pandang kita lebih bernilai. Namun, saya bukan memperlekehkan kehidupan orang lain,” katanya.

Sumber: BH Online


Scroll to Top