
Bonnie menyumbang emas kelima buat Malaysia pada Sukan Para Asia 2022 di Gimnasium Xiaoshan, pada Rabu. – Foto Bernama
JAGUH powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin mendedikasikan pingat emas acara 72 kilogram (kg) yang dimenanginya pada Sukan Para Asia (APG) 2022 di sini, buat abangnya Bryan Junency Gustin.
Atlet berusia 24 tahun itu berkata, kehadiran Bryan, 26, yang turut mewakili negara dalam sukan sama menerusi acara 80kg, menyuntik motivasinya untuk membutirkan pingat emas sulung di temasya itu selain memastikan Negaraku berkumandang.
Badang kerdil dari Serian, Sarawak itu yang membuat penampilan keduanya di temasya APG, cemerlang selepas menyandang gelaran juara bagi acara 72kg dengan melakukan angkatan seberat 230kg yang juga rekod baharu temasya pada aksi di Gimnasium Xiaoshan, di sini.
Rekod itu sebelum ini dipegang atlet powerlifting Iran, Roohallah Rostami dengan angkatan seberat 229kg.



