KONTINJEN negara di Sukan Para Asia (APG) Hangzhou 2022 semakin menghampiri sasaran 35 pingat ditetapkan apabila membolot tiga emas, lima perak dan empat gangsa selepas berakhirnya saingan hari ketiga temasya itu, pada Rabu.
Pencapaian tersebut sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pungutan pingat kontinjen negara kepada tujuh emas, 11 perak dan 11 gangsa, untuk membolehkan mereka kekal menghuni kedudukan kelapan selain memerlukan hanya enam lagi pingat bagi mencapai sasaran.
Pingat emas kelima hari ini disumbangkan atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin dalam acara 72 kilogram (kg) pada aksi berlangsung di Gimnasium Xiaoshan selepas melakukan angkatan seberat 230kg yang juga merupakan rekod baharu temasya.
Kem olahraga turut tidak mengecewakan selepas menyumbang satu emas dan satu gangsa di Stadium Pusat Sukan Huang Long.



