PETRONAS komited sasar capai pelepasan bersih sifar karbon menjelang 2050

PETRONAS komited sasar capai pelepasan bersih sifar karbon menjelang 2050

PETRONAS komited menyokong peralihan tenaga Malaysia yang dijangka dapat mengubah ekonomi dan membuka bidang pertumbuhan baharu, terutama dalam perniagaan rendah karbon. 

Malah, syarikat tenaga itu adalah yang pertama di Asia Tenggara mengisytiharkan aspirasinya untuk mencapai Pelepasan Bersih Sifar Karbon menjelang 2050 (NZCE 2050). 

Sebagai penjaga sumber hidrokarbon Malaysia, PETRONAS berhasrat membangunkan sumber minyak dan gas di Malaysia secara mampan, sejajar dengan NZCE 2050. 

Justeru, fokus PETRONAS ketika ini adalah untuk mengurangkan pelepasan Skop 1 iaitu pelepasan dikaitkan secara langsung dengan operasi syarikat dan pelepasan Skop 2 merangkumi tenaga digunakan untuk menjalankannya. 

PETRONAS juga sudah menyemak semula kaedah pengiraan pelepasan karbon untuk mematuhi rangka kerja antarabangsa dan panduan khusus sektor untuk memberi asas kukuh bagi Skop 1 dan Skop 2 serta pemahaman lebih baik mengenai pelepasan gas rumah hijau Skop 3. 

Mulai 2023 dan seterusnya, PETRONAS menyasarkan untuk mematuhi sepenuhnya Greenhouse Gas Protocol Corporate Accounting and Reporting Standard (2004), Ipieca Climate Change Reporting Framework (2011) dan ISO 14064-1: 2018. 

Justeru, sasaran jangka pendek pelepasan gas rumah hijau 2024 dan pengurangan pelepasan metana adalah berdasarkan pendekatan kawalan operasi. 

Dalam merangka laluan kepada NZCE 2050, PETRONAS mengguna pakai pendekatan saham ekuiti untuk mencerminkan kepentingan ekonomi dalam aktiviti perniagaan. 

Pendekatan saham ekuiti akan membimbing aset dan pelaburan supaya sejajar dengan pelepasan bersih sifar karbon menjelang 2050 dan akan ditunjukkan dalam laporan bersepadu tahunan. 

Metodologi ini membolehkan penjejakan peralihan portfolio jangka panjang perniagaan. Selain itu NZCE 2050 bakal memanfaatkan teknologi dan inovasi serta mengimbangi baki pelepasan yang sukar dikurangkan dengan penyelesaian iklim berasaskan alam semula jadi. 

Ini termasuk penyahkarbonan operasi, projek tenaga boleh baharu dan penyelesaian tenaga bersih di samping penyelesaian lain.

PETRONAS komited sasar capai pelepasan bersih sifar karbon menjelang 2050

Sedia tenaga mampan 

Gentari Sdn Bhd (Gentari) yang ditubuhkan PETRONAS pada September 2022, menyediakan tenaga mampan bersepadu yang merangkumi tenaga boleh baharu, hidrogen dan mobiliti hijau. 

Ketua Tenaga Baharu Malaysia dan Asia Tenggara, Gentari, Syed Malek Faisal Syed Mohamad, berkata pihaknya menyasarkan aspirasi supaya Gentari menjadi pemaju tenaga boleh baharu skala utiliti yang terkemuka iaitu dengan sasaran untuk mencapai kapasiti tenaga boleh baharu dalam lingkungan 30 – 40 GW kapasiti dipasang pada peringkat global menjelang 2030.

“Pelan strategik itu, termasuk meningkatkan projek komersial dan perindustrian di Asia Pasifik; meningkatkan sistem solar dan angin berskala utiliti di Malaysia dan Asia Pasifik untuk menyokong aspirasi hidrogen hijau. Memulakan projek angin luar pesisir dalam Asia Pasifik dan Eropah serta membangunkan keupayaan penyimpanan tenaga sepanjang masa,” katanya. 

Sektor pengangkutan pula menyumbang dengan ketara kepada perubahan iklim iaitu kira-kira 15 peratus daripada jumlah gas rumah hijau dan 22 peratus daripada pelepasan karbon dioksida di seluruh dunia.

 

Oleh itu, mengurangkan jejak ini penting untuk mencapai pelepasan bersih sifar karbon menjelang 2050. 

Terdapat beberapa ramalan mengatakan menjelang 2030, sebanyak 60 peratus kereta dijual di seluruh dunia akan dikuasakan secara elektrik. 

Matlamat PETRONAS adalah untuk meletakkan Gentari sebagai pembekal mobiliti hijau pilihan Asia Pasifik dengan hasrat untuk menguasai lebih daripada 10 peratus bahagian pasaran dalam titik pengecasan awam dan kenderaan sebagai perkhidmatan di pasaran utama Asia Pasifik, menjelang 2030. 

Gentari juga bermatlamat menjadi pengeluar hidrogen berskala besar, dengan cita-cita untuk membekalkan sehingga 1.2 juta tan hidrogen bersih setahun menjelang 2030. 

Pelan strategik matlamat itu, termasuk membangunkan projek hidrogen bersih di Malaysia, Kanada dan kawasan lain; menyediakan penyelesaian untuk pelanggan di Asia Pasifik dan pasaran utama lain; dan meluaskan jejak global melalui kerjasama. 

Selaras dengan pelan untuk membangunkan projek hidrogen bersih tersebut, 41 perjanjian kerjasama yang merangkumi Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Kajian Kebolehlaksanaan Bersama (JFSA), telah ditandatangani dengan rakan kongsi dan pelanggan di Malaysia dan juga di luar negara. Ia meliputi inisiatif untuk meneroka pembangunan projek hidrogen bersih dan pengangkutannya, advokasi terhadap dasar dan peraturan untuk menyokong industri hidrogen serta kajian mengenai rantaian bekalan hidrogen bersih.

Fokus karbon rendah 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, berkata pihaknya terus berusaha untuk beralih kepada karbon rendah selepas didorong konsensus global mengenai bukti berasaskan sains mengenai perubahan iklim. 

Katanya, dunia mesti mengurangkan 43 peratus daripada jumlah pelepasannya menjelang 2030 untuk mengurangkan kesan dan menjamin masa depan supaya ia boleh dihuni manusia. 

Namun katanya, untuk mencapai sasaran itu memerlukan transformasi sistem tenaga lengkap serta dirancang dengan teliti untuk mengurangkan pelepasan gas hijau secara drastik sepanjang dekad ini. 

“Jelas, ini meningkatkan cabaran yang menggerunkan, tetapi pada masa sama menawarkan peluang besar untuk industri tenaga. 

“Bagi PETRONAS, kami berhasrat merebut peluang dan membekalkan dunia dengan tenaga diperlukan hari ini dengan pertimbangan untuk matlamat iklim Perjanjian Paris,” katanya. 

Oleh itu katanya, adalah penting peralihan tenaga diatur secara bertanggungjawab untuk memastikan hasil saksama bagi memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan. 

Dengan pemikiran itu katanya, PETRONAS telah berjaya mengimbangi kedudukan unik untuk memenuhi komitmen kepada Malaysia dan pada masa sama menjadi pemain tenggara antarabangsa. 

“Dengan portfolio tenaga bersepadu yang kukuh, kami memberi tumpuan untuk melaksanakan tanggungjawab teras kami sambil berubah untuk memenuhi keperluan tenaga masa depan selaras dengan aspirasi untuk mencapai NZCE 2050,” katanya. 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top