
Pencapaian terbaik Malaysia pada ACT wanita edisi 2013 di Kakamigahara, Jepun. – Gambar fail.
SKUAD Malaysian Tigress memulakan kempen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita Ranchi 2023 dengan langkah kiri apabila tewas kepada Jepun 3-0 pada Jumaat.
Perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Marang Gomke Jaipal Singh Astroturf, India itu, menyaksikan skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim ketinggalan satu gol pada suku pertama perlawanan apabila Rika Ogawa menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-13.
Jepun kembali menemukan rentak gol pada suku ketiga hasil jaringan padang Mai Toriyama pada minit ke-43, selepas menyaksikan kedua-dua pasukan ketandusan gol pada suku kedua.
Pukulan sudut penalti Shiho Kobayakawa yang disempurnakan dengan baik ketika perlawanan berbaki enam minit lagi, memaksa pasukan negara gigit jari dalam perlawanan pertama mereka.


