Kota Bharu: Fenomena memelihara dan mempertandi\ngkan serangga eksotik yang dikenali sebagai ‘belalang kerek’ kini bukan lagi sekadar hobi bermusim, malah berpotensi diangkat sebagai identiti dan warisan budaya lestari negeri Kelantan.
Ketua Jabatan Pengajian Sains Praklinikal Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Goh Soon Heng berkata, trend itu semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda kerana tidak melibatkan perbelanjaan yang tinggi, selain dapat merapatkan hubungan komuniti setempat.
“Belalang ini biasa ditemukan di kawasan kampung dan masyarakat dahulu gemar mendengar bunyinya. Daripada sekadar memelihara, ia kini berkembang untuk tujuan pertandingan sekali gus menyatukan komuniti peminat belalang.
“Penyertaan golongan muda amat penting kerana mereka adalah pelapis yang akan memastikan warisan ini terus berkembang dan dianjurkan saban tahun,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengenai format pertandingan, Goh berkata pemenang sama sekali tidak dinilai berdasarkan saiz fizikal belalang, sebaliknya fokus diberikan kepada keunikan dan kekerapan bunyi desingan yang dihasilkan.
“Pertandingan ini sangat unik kerana ia biasanya berlangsung pada waktu malam dengan lampu ditutup. Peserta tidak dapat melihat belalang, mereka hanya mendengar bunyinya.
“Penilaian dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu kemerduan nada dan kekerapan bunyi. Juri akan mengira berapa banyak desingan yang mampu dikeluarkan oleh belalang berkenaan dalam tempoh 30 saat,” katanya.
Menyentuh aspek saintifik, Goh berkata belalang kerek dewasa boleh membesar sehingga lapan sentimeter dan mempunyai jangka hayat purata sekitar 11 hingga 12 bulan.
Bagi proses pembiakan dalam kurungan, ia memerlukan penyediaan ekosistem kecil yang kondusif, termasuk daun yang pelbagai sumber makanan serta medium seperti tanah atau batang kayu untuk belalang betina bertelur.
Beliau berkata serangga endemik ini penting dalam rantaian ekosistem sebagai pengawal populasi tumbuhan liar dan rumpai perosak di kawasan semak, selain menjadi sumber makanan kepada burung serta haiwan pemangsa lain.
“Konflik hanya akan timbul apabila habitat asal haiwan itu terjejas. Tanpa sumber makanan semula jadi, belalang ini akan beralih ke kawasan pertanian sayur dan berisiko menjadi serangga perosak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut membetulkan salah faham masyarakat mengenai amalan memakan belalang.
Katanya, spesies yang lazimnya digoreng dan dimakan adalah ‘belalang kunyit’ yang ditemukan di sawah padi, bukannya belalang kerek.
Meskipun aktiviti ini dilihat semakin popular, Goh berkata masyarakat dinasihatkan agar tidak mengeksploitasi tangkapan belalang kerek secara berlebihan di habitat asalnya bagi mengelakkan gangguan terhadap rantaian ekosistem.
“Buat masa ini, permintaan komersial (jualan) belum begitu tinggi kerana masyarakat lebih gemar menangkapnya sendiri. Namun, sekiranya populasi liar mula berkurangan suatu hari nanti, permintaan untuk membelinya pasti akan meningkat.
“Sebab itu, kajian perlu sentiasa dilakukan untuk memahami impak haiwan ini. Kita perlu tahu berapa cepat ia membiak agar kita dapat menetapkan had kekerapan tangkapan yang selamat,” katanya.
Melihat kepada unjuran lima hingga 10 tahun akan datang, Goh yakin pemeliharaan belalang kerek mampu bertahan sebagai satu aktiviti budaya yang utuh di samping memupuk kesedaran masyarakat untuk lebih menghargai bunyi-bunyian alam semula jadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd



