
Rubiales digantung tiga tahun daripada aktiviti bola sepak.
BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales telah dikenakan hukuman penggantungan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama tiga tahun.
Rubiales mencetuskan kontroversi apabila mencium bibir pemain bola sepak wanita, Jenni Hermoso tanpa kerelaan selepas kemenangan Sepanyol ke atas England pada final Piala Dunia Wanita di Sydney, Ogos lalu.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang sebelum ini menggantung Rubiales selama 90 hari, kini membuat keputusan untuk menggantungnya selama tiga tahun.
“Jawatankuasa Disiplin FIFA menggantung bekas Presiden Persatuan Bolasepak Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales daripada sebarang aktiviti bola sepak di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa untuk tiga tahun,” kata badan induk dalam satu kenyataan pada Isnin.