
Ammar Aiman bersama keratan akhbar yang disimpan memaparkan kejayaannya mencipta rekod Dan pulang emas untuk negara pada Sukan Para Asia Hangzhou.
ATLET para Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi, 21, sanggup bertungkus lumus menjalani latihan dan berjauhan dengan keluarganya untuk mencapai impian menggenggam pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Selepas lima tahun, Ammar Aiman membuktikan segala usaha dan pengorbanan dilakukannya, berbaloi apabila berjaya memenangi pingat emas 400 meter (T20)(kecacatan intelektual) Sukan Para Asia di Hangzhou pada bulan lalu.
Lebih manis lagi, anak kelahiran Pontian ini turut berjaya memecahkan rekod temasya dan Asia dengan catatan masa 47.60 saat, sekali gus membolehkan dia menduduki tangga kelima dunia bagi acara 400 meter (T20) ketika ini.
Ketika ditemui di rumahnya di Taman Utama Pekan Nanas, Ammar Aiman mengakui cukup gembira kerana dapat kembali menemui keluarganya selepas menjalani sesi latihan panjang hampir tiga bulan.
Anak sulung daripada tiga beradik itu memberitahu hanya panggilan telefon menjadi penghubung untuk melepaskan kerinduan kepada ibu, Zainah Hamdan, 46, dan ayahnya Nor Azmi Nandang, 47, yang bekerja di sebuah kilang di Pekan Nanas.



