Bukan mudah berlakon di India, perlu gigih dan ‘laparkan peluang’ – Irfan Zaini

Bukan mudah berlakon di India, perlu gigih dan ‘laparkan peluang’ – Irfan Zaini

Kira-kira 18 tahun lalu, pelakon Irfan Zaini menyuluh impiannya untuk berlakon disamping pelakon terkenal India, Joseph Vijay Chandrasekhar atau lebih popular dikenali Vijay menerusi watak kecil dalam filem Kuruvi.

Bertitik tolak saat itu, pelakon berusia 31 ahun ini terus menyemarakkan angan-angan dan sekali lagi dipilih membintangi The Greatest Of All Time dan Jana Nagayan yang kedua-duanya menampilkan Vijay sebagai teraju utama. Langkah kecil itu dianggap sebagai permulaan dalam usaha menembusi persada perfileman India.

Dalam wawancara penuh, Irfan berkongsi angan-angan mendominasi dunia perfileman India dan obsesinya terhadap Vijay yang menjadi pendorong kepada pembabitan dalam dunia lakonan.

Boleh kongsikan perasaan Irfan apabila berpeluang berlakon dengan idola?

Selama lima tahun saya mencuba nasib, saya terlepas peluang beraksi lima filem yang dibintangi Vijay. Tetapi tidak sangka akhirnya saya berpeluang berlakon dalam filem ke enamnya iaitu The Greatest Of All Time (2024).
Dan disebabkan kemunculan saya dalam filem itu, saya berpeluang pula membintangi filem terakhir beliau iaitu Jana Nayagan yang ditayangkan baru-baru ini. Diharapkan filem ini membuka pintu lebih luas untuk saya menembusi pasaran India. Ini saya anggap sebagai langkah kecil mencipta nama di sana.
Vijay bukan individu biasa, dia boleh dikategorikan sebagai ‘wira India’ kerana yang asalnya pelakon tetapi memenangi undi rakyat lantas diangkat sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu.

Kelebihan Vijay pada pandangan Irfan?

Saya bersyukur kerana sebelum beliau mengumumkan persaraan, saya berpeluang berlakon dengan beliau sebanyak tiga kali. Saya bertemu beliau sekali lagi dalam filem GOAT. Beliau terkejut apabila saya menunjukkan beliau gambar kami kira-kira 18 tahun lalu. Katanya, dia tidak menyangka saya kini sudah mengikut jejak langkahnya menjadi pelakon.
Beliau adalah sebab mengapa saya masuk ke dalam bidang ini, melihat saya berpotensi untuk menjadi pelakon yang bagus.

Bukan mudah berlakon di India, perlu gigih dan ‘laparkan peluang’ – Irfan Zaini

Apa sebenarnya yang membuka peluang untuk Irfan?

Saya dan Vijay pernah duduk semeja. Ketika itu beliau memberitahu saya mengenai filem terakhirnya iaitu Jana Nagayan. Lantas saya memaklumkan hasrat untuk berlakon dalam filem tersebut. Namun bukan dengan pertolongannya, sebaliknya melalui uji bakat. Jadi saya hadiri uji bakat dan alhamdulillah terpilih untuk membintangi filem itu.

Bagaimana respons peminat Malaysia?

Saya terima banyak respons daripada peminat Malaysia. Rata-rata rakyat Malaysia berbilang bangsa tonton filem itu. Mereka rasa bangga disebabkan adanya pelakon dari Malaysia yang berjaya menempatkan diri dalam filem berkenaan.

Dengarnya ada lagi nama besar dalam filem ini?

Cerita ini dikeluarkan dalam lima bahasa. Selain Vijay, saya juga berkesempatan berlakon dengan pelakon terkenal Bollywood, Bobby Deol juga berlakon dalam filem ini. Namun terdapat beberapa babak membabitkan saya dengan beliau yang menyentuh sensitiviti agama, lalu dipotong Lembaga Penapisan Filem India. Tapi bukan kesemuanya.

Apa pandangan Vijay terhadap industri perfileman Malaysia?

Saya sempat menunjukan hasil kerja saya termasuk trailer filem Blood Brothers dan beberapa naskhah dari Malaysia. Vijay sebenarnya terkejut apabila mengetahui industri filem kita tidak kurang hebatnya. Cuma beliau tidak berpeluang menonton filem Malaysia kerana filem kita terhad ditonton dalam kalangan negara-negara Nusantara.
Banyak perkara saya ceritakan tentang Malaysia yang sedikit sebanyak mempengaruhi beliau untuk menganjurkan perasmian audio di TM Stadium sekitar Disember lalu. Apa pun saya cukup bangga apabila sempat menunjukkan beberapa filem dari Malaysia.

Apakah nasihat yang beliau tinggalkan kepada Irfan?

Banyak sebenarnya, antara yang tidak dapat saya lupakan adalah nasihat yang beliau tinggal iaitu jadilah pelakon yang bagus.
Apabila berpeluang berlakon dalam filem GOAT, saya tidak sangka pelakon bertaraf mega star seperti Vijay memeluk saya dan memberitahu yang saya memang berpotensi menjadi pelakon, boleh pergi jauh. Saya tetap bersyukur kerana diberi pengiktirafan daripada pelakon antarabangsa.

Adakah mudah bagi Irfan untuk melebarkan sayap ke India?

Seperti yang kita sedia maklum, industri perfileman di India terlalu besar dan peruntukan untuk menghasilkan sebuah filem di sana memakan ratusan juta ringgit. Untuk masuk ke industri perfileman di India bukan kerja mudah, sebaliknya memerlukan kegigihan dan keterdesakan yang tinggi.
Pelakon seperti saya kena terdesak dan ‘laparkan’ peluang. Kita tidak boleh duduk goyang kaki, mengharapkan agensi mencarikan peluang untuk kita. Kena sentiasa usaha untuk mencapai matlamat kita.

Scroll to Top