KUALA LUMPUR – FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan tinggi kepada paras 1,460 minggu depan, didorong oleh rekod minggu terbaik Wall Street dalam tempoh setahun selepas pertumbuhan pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang lembap.
Ketua Ekonomi dan Pengurus Dana Inter-Pacific Asset Management Bhd Datuk Dr Nazri Khan berkata, walaupun indeks utama terus merosot di bawah 1,450, ia masih mampu mengekalkan kenaikan baru-baru ini melebihi paras 1,440 pada akhir dagangan minggu ini.
Penurunan itu adalah sedikit dan sementara, sebahagian besarnya selaras dengan penurunan indeks serantau selepas kenaikan mingguan global yang terlebih beli, katanya.
Beliau berkata berita ekonomi tempatan terkini yang positif dijangka akan memacu kenaikan.
Beliau berkata perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan sebanyak RM142.7 bilion, meningkat 6.5 peratus tahun ke tahun pada September 2023 dan pendapatan sektor perkhidmatan Malaysia naik 7.6 peratus tahun ke tahun kepada RM584.0 bilion pada suku ketiga 2023.
Pertumbuhan didorong oleh prestasi yang menggalakkan dalam semua segmen sektor perkhidmatan, dengan sumbangan terbesar daripada segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang mendasari asas ekonomi tempatan yang kukuh.
Di sebalik penurunan yang sementara, Nazri Khan percaya keadaan pasaran masih stabil, dibantu oleh kadar faedah dan tekanan inflasi yang mereda di seluruh dunia yang turut menyebarluas ke ekuiti tempatan.
“Walaupun sedemikian, terdapat minat belian dalam saham wajaran tinggi kewangan utama untuk memberikan kenaikan seterusnya kepada indeks utama dalam masa terdekat.
“Justeru, pemain pasaran masih menunggu lebih banyak petunjuk daripada keputusan yang berterusan untuk musim pelaporan untuk lebih banyak gambaran mengenai prospek pendapatan korporat bagi 2024 sebelum mengambil langkah seterusnya, dengan paras 1,460 sebagai sasaran segera,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, beliau berkata saham berharga rendah dan saham pasaran yang meluas boleh mencatatkan kemajuan dalam persekitaran pasaran yang lebih positif.
Bagaimanapun, katanya kenaikan mungkin kekal baik berikutan minat belian yang masih sederhana.
Dari segi teknikal, katanya halangan segera berada pada paras 1,480, diikuti paras psikologi 1,500.
Pada Jumaat, saham Malaysia mengakhiri minggu ini dengan ditutup rendah sejajar dengan bursa serantau, mencerminkan kemerosotan pasaran global, apabila pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell menyatakan keraguan mengenai keberkesanan kadar faedah AS dalam mengekang inflasi.
Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI merosot 4.75 mata untuk mengakhiri minggu ini kepada 1,445.18 daripada 1,449.93 minggu lepas.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 7.47 mata kepada 10,691.47, Indeks FBMT 100 merosot 14.82 mata kepada 10,353.59, Indeks FBM Emas Shariah susut 9.62 mata kepada 10,897.17 manakala Indeks FBM 70 melonjak 63.40 mata kepada 14,161.93 dan Indeks FBM ACE meningkat 33.66 mata kepada 5,132.65.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 2.81 mata kepada 16,296.07, Indeks Perladangan merosot 30.96 mata kepada 6,922.29 dan Indeks Tenaga susut 4.70 mata kepada 859.34 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.69 mata kepada 172.4.
Jumlah dagangan mingguan naik kepada 17.0 bilion unit bernilai RM10.04 bilion daripada 15.58 bilion unit bernilai RM9.12 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 11.29 bilion saham bernilai RM8.78 bilion daripada 9.26 bilion saham bernilai RM7.73 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.90 bilion unit bernilai RM264.22 juta daripada 2.07 bilion unit bernilai RM315.87 juta minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 3.73 bilion saham bernilai RM984.0 juta daripada 4.20 bilion saham bernilai RM1.07 bilion sebelum ini. – BERNAMA




