Kedudukan aset Felda di London perlu diperjelas

Kedudukan aset Felda di London perlu diperjelas

PETALING JAYA: Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mahu kedudukan sebenar aset milik agensi itu di London diperjelaskan bagi mengelakkan kekeliruan berhubung nilai hartanah berkenaan.

Katanya, sepanjang tempoh beliau menerajui Felda sehingga akhir Jun lalu, tiada permohonan dikemukakan untuk menjual mana-mana hotel milik agensi itu di London.

“Tidak ada satu pun permohonan menjual hotel Felda di London telah dibuat semasa saya berada di Felda. Tak tahulah kalau selepas saya meninggalkan Felda pada akhir Jun lalu.

“Lagi pun Felda ada empat aset hartanah di sana, dua hotel dan dua penempatan pelajar,” katanya.

Jelasnya lagi, berdasarkan pengetahuannya, tiada satu pun daripada empat hartanah itu dibeli secara tunggal pada harga £160 juta (kira-kira RM883.7 juta).

Ahmad Shabery berkata, perincian berhubung setiap aset itu penting bagi memastikan nilai hartanah secara individu tidak disalah anggap sebagai nilai keseluruhan portfolio Felda di London.

“Saya bimbang PM disalah nasihat atau ada yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan penjualan aset Felda merupakan sebahagian daripada proses kerajaan termasuk melibatkan Kementerian Kewangan dan Jawatankuasa Penasihat kepada Jabatan Perdana Menteri.

“Menjual aset adalah arahan dari atas, Kementerian Kewangan dan Jawatankuasa Penasihat kepada Jabatan Perdana Menteri. Ini adalah langkah standard kerajaan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau enggan menandatangani dokumen kelulusan penjualan sebuah hotel milik Felda selepas mendapati aset berkenaan dicadangkan untuk dijual pada harga £100 juta (kira-kira RM552.3 juta), berbanding harga pembelian £160 juta (kira-kira RM883.7 juta).

Anwar turut mengarahkan pengurusan Felda menyediakan laporan lengkap berhubung cadangan penjualan aset berkenaan untuk penelitian lanjut-UTUSAN

Scroll to Top