
Luqman Hakim antara sandaran Harimau Muda pada saingan Piala Asia B-23 di Qatar yang menyingkap tirai April tahun depan.
PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin diharapkan dapat mencari kembali rentaknya dalam usaha membantu skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara melangkah jauh dalam Piala Asia B-23 di Qatar bermula April tahun depan.
Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, beliau meyakini Luqman Hakim mampu untuk kembali pada tahap terbaiknya tetapi memerlukan kerja keras untuk kembali menyinar bersama pasukan muda negara.
“Sudah pasti dia tahu cara untuk bangkit. Dia juga sudah lama di luar negara, takkan dia tidak dapat buat satu pembaharuan atau come back untuk diri dia sendiri.
“Dia kena cari apa yang perlu dibuat dan perbaiki apa yang kurang kerana dia memiliki bakat dan kualiti yang bagus. Dia juga perlu cari prestasinya balik untuk dapatkan kepercayaan jurulatih B-23 negara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.



