Enlit Asia bakal diadakan di KL pada Oktober 2024

Enlit Asia bakal diadakan di KL pada Oktober 2024

Kuala Lumpur: Enlit Asia yang akan diadakan di Malaysia pada 8 sehingga 10 Oktober 2024 di ibu negara, bakal menarik lebih 12,000 pengunjung dari 50 negara.

Enlit Asia adalah persidangan tahunan yang menyatukan dua acara berpengaruh dalam sektor kuasa serta tenaga iaitu POWER- GEN Asia dan Minggu Utiliti Asia, yang sudah lama menjadi mercu tanda inovasi dan kerja- sama dalam industri.

Acara yang disokong oleh Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) itu juga dijangka mampu menjana anggaran impak ekonomi sebanyak RM134.6 juta serta RM8.2 juta perbelanjaan oleh pengunjung.

Sebanyak 300 pempamer termasuk lebih 200 pempamer dari luar negara dijangka menyertai acara yang diadakan selama tiga hari di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Tahun ini Enlit Asia diadakan di Jakarta manakala tahun sebelumnya ia diadakan di Bangkok, Thailand.

Enlit Asia bakal diadakan di KL pada Oktober 2024

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Zain Azrai Rashid, berkata pihaknya berbesar hati dapat menjadi destinasi seterusnya penganjuran Enlit Asia.

Katanya, pihaknya juga teruja dengan peluang untuk menjadi tuan rumah acara perniagaan bertaraf dunia yang akan menghimpunkan ramai golongan profesional dalam sektor kuasa dan tenaga.

“Malaysia sudah bersedia untuk mempamerkan keupayaan dalam menganjurkan acara perniagaan antarabangsa utama dan kami yakin mampu menampilkan persembahan yang hebat.

“MyCEB juga mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada penganjur Enlit Asia, Clarion Event Pte Ltd atas kerja luar biasa mereka dan kami juga tidak sabar untuk menyokong mereka dalam persembahan tahun akan datang,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis serah terima tugas yang diadakan secara rasmi di Indonesia Convention Exhibition (ICE), BSD City, Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Zain Azrai berkata, peralihan itu juga melambangkan kejayaan kerjasama dan sinergi berterusan antara Malaysia dan Indonesia dalam bidang acara perniagaan.

Selain majlis penyerahan tugas katanya, lawatan MyCEB ke Jakarta adalah susulan daripada lawatan tahun lalu untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam menjadi destinasi pilihan acara perniagaan.

“Keputusan berkesan tahun lepas menunjukkan kekuatan kerjasama serantau kami. Kami menghargai jiran kami dan pengajaran yang dikongsi bersama mereka.

“Tahun ini, kami menyarankan untuk membabitkan diri dengan lebih ramai rakan sejawat Indonesia untuk meningkatkan industri acara perniagaan dan mengukuhkan hubungan dengan agensi berita Indonesia.

“Ini juga dapat memajukan reputasi Malaysia sebagai destinasi global utama untuk acara perniagaan,” katanya yang turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan sejawatan di Indonesia atas layanan dan kepercayaan diberikan.

Sementara itu, Pengarah acara, Enlit Asia, Simon Hoare, berkata pihaknya sangat teruja untuk membawa Enlit Asia 2024 ke landskap Malaysia yang meriah di mana inovasi menyatu dengan tradisi.

“Acara ini akan dapat membantu menyinari laluan baharu dalam sektor tenaga selain mempamerkan komitmen Malaysia terhadap sistem kuasa masa hadapan yang mampan dan dinamik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top