Nuraini fokus julang UniKL Ladies

Nuraini fokus julang UniKL Ladies

helmi.talkah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kapten UniKL Ladies, Nuraini Abdul Rashid menegaskan fokus utamanya adalah bagi membantu pasukan menjuarai saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) Wanita musim ini berbanding memikirkan untuk muncul sebagai penjaring terbanyak.

Pakar pukulan sudut penalti kebangsaan itu ketika ini berpeluang untuk dinobatkan sebagai penjaring terbanyak apabila sudah menjaringkan tiga gol sekali gus berkongsi kedudukan penjaring terbanyak bersama empat lagi pemain lain.

“Soal untuk muncul penjaring terbanyak bukanlah keutamaan saya ketika ini. Saya lebih mementingkan kerjasama sepasukan.

“Siapa yang menjaringkan gol, itu tidak penting. Janji, setiap perlawanan berjaya meraih tiga mata,” katanya yang muncul penjaring terbanyak saingan Piala Razak musim lalu.

UniKL Ladies yang dibimbing Roslan Jamaluddin kini di landasan tepat bagi muncul juara liga pada penampilan pertama mereka dalam saingan MHL musim ini apabila merekodkan kemenangan kedua berturut-turut dengan menewaskan PDRM Blue Warriors 3-0, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan anak buah Roslan ketika ini menghuni tangga teratas liga dengan mengumpul enam selepas merekodkan kemenangan terbesar saingan liga dengan membelasah Junior PSHA 17-0 dalam aksi pertama.

UniKL Ladies akan meneruskan misi mereka apabila dijadual berdepan PKS Uniten KPT pada aksi ketiga, Sabtu ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top