WASHINGTON: Presiden Russia, Vladimir Putin, kemungkinan besar mengarahkan usaha Moscow mempengaruhi pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) 2020 bagi memastikan kemenangan Donald Trump.
Menurut laporan perisikan AS yang dikeluarkan kelmarin, sumber mengatakan perkara itu boleh mencetuskan tindakan sekatan AS terhadap Moscow.
Laporan setebal 15 halaman itu, yang dikeluarkan Pejabat Pengarah Perisikan Nasional AS, mengemukakan banyak bukti berhubung tuduhan itu.
Antara lain, beberapa pegawai tertinggi Trump dikatakan berada di bawah pengaruh Moscow dan bertindak membuat dakwaan terhadap calon pesaing presiden ketika itu, Joe Biden.
Perkara itu didedahkan oleh seorang tokoh Ukraine yang ada kaitan dengan Russia, menjelang pilihan raya 3 November lalu.
Laporan itu juga mendedahkan penemuan baharu bahawa Putin mengawasi atau sekurang-kurangnya setuju untuk campur tangan dalam pilihan raya presiden memihak kepada Trump.
Bagaimanapun, Kedutaan Russia di AS dalam satu kenyataan di Facebook semalam menyifatkan laporan itu sebagai tidak berasas.
“Dokumen yang disediakan oleh perisikan AS adalah satu lagi tuduhan tidak berasas terhadap negara kami kerana campur tangan dalam proses politik dalam negara lain.
“Kesimpulan laporan mengenai Russia melakukan operasi mempengaruhi politik AS disahkan semata-mata oleh kepercayaan terhadap perkhidmatan perisik itu sendiri, tanpa fakta atau bukti khusus mengenai dakwaan itu,” katanya. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




