Tiga disahkan maut, empat masih terperangkap

Tiga disahkan maut, empat masih terperangkap

am@hmetro.com.my

Georgetown: Tiga pekerja binaan warga Bangladesh disahkan maut dalam kejadian runtuhan kompleks bangunan logistik dalam pembinaan berhampiran Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, malam ini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamad Usuf Jan Mohamad berkata, dua daripadanya disahkan maut di lokasi selepas dikeluarkan pada 10 malam.

“Seorang lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital manakala dua lagi parah dan dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Pada masa ini, pelbagai agensi dengan kekuatan seramai 80 anggota sedang berusaha mengeluarkan empat lagi mangsa yang terperangkap,” katanya kepada media di lokasi di sini, malam ini.

Mohamad Usuf berkata, siasatan awal mendapati rasuk (beam) sepanjang 12 meter dengan berat sehingga 14 tan itu jatuh dan terlanggar rasuk yang lain.

“Terdapat 14 rasuk kesemuanya jatuh dan menimpa pekerja yang berada di bawah.

“Setakat ini kita kenal pasti mangsa yang terbabit adalah warga Bangladesh,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang, TS Zulfahmi Sutaji berkata, pihaknya menggunakan bantuan jentera kren bagi mengalihkan rasuk bagi mengeluarkan empat lagi mangsa yang terperangkap.

“Kawasan yang dikenal pasti adalah seluas gelanggang bola keranjang dan operasi ini akan diteruskan sehingga kesemua mangsa terperangkap dikeluarkan,” katanya.

Bangunan itu adalah kompleks perniagaan logistik tiga tingkat yang mempunyai pejabat, ruang parkir, gudang dan lain-lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top