
Aksi pemain Johor Jewels, An Najwa Azizan (depan, kiri) ketika menentang KL Wildcats dalam saingan NSL 2023 di Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini. – Foto Facebook NSL
ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera kepada seluruh peminat sukan bola jaring tanah air dan pembaca Sinar Harian.
Netball Super League (NSL) 2023 yang menutup tirai awal bulan ini memberi impak positif buat arena bola jaring negara.
Kejohanan edisi ketiga itu membuka dimensi baharu apabila para peminat disajikan dengan aksi dramatik hasil gabungan pemain tempatan serta tenaga import bertaraf dunia.
Kehadiran pemain luar negara itu menjadikan NSL 2023 begitu hangat untuk diperkatakan dan sentiasa menjadi buruan peminat untuk menonton menerusi siaran Astro dan membanjiri Stadium Juara, Bukit Kiara setiap hujung minggu.



