PEMERKASA bukan penyelesaian terakhir COVID-19

PEMERKASA bukan penyelesaian terakhir COVID-19

hazwanfaisal@bh.com.my

Putrajaya: Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang diumumkan Perdana Menteri pada Rabu lalu bukanlah penyelesaian muktamad kepada senario COVID-19 dan ekonomi negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata program itu sememangnya menyasarkan untuk menguruskan COVID-19 secara lebih berkesan dan memacu pertumbuhan negara.

Namun, tegasnya, ia perlu dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan 6R kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi.

Katanya, 6R sebagai Strategi Pemulihan Negara terdiri daripada enam tahap iaitu Resolve (Ketegasan), Resilient (Ketahanan), Restart (Memulakan Semula), Recover (Pemulihan), Revitalize (Memperkasa) dan Reform (Menyusun Semula).

“Pada masa kini, negara kita masih berada di antara tahap lima dan enam Strategi 6R, iaitu di antara Revitalize dan Reform.

“PEMERKASA berfungsi sebagai pengantara dengan negara kini akan bergerak daripada pelbagai bentuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada pembukaan ekonomi dan seterusnya ke arah pemulihan ekonomi.

“Walaupun ada pihak yang mempertikaikan nilai program PEMERKASA, ingin saya tekankan semua pakej diumumkan selama ini semuanya saling melengkapi dan menyokong pertumbuhan ekonomi secara berterusan.

“Bagi tahun 2020, sebanyak RM305 bilion diperuntukkan bagi membantu rakyat, perniagaan dan ekonomi mendepani cabaran COVID-19. Semua pakej ini menyumbang antara 3.0-4.0 mata peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-45 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), semalam.

Tengku Zafrul berkata, pada tahun ini sejumlah RM322.5 bilion diperuntukkan di bawah Belanjawan 2021 dan semua inisiatif di bawah belanjawan itu masih dalam proses pelaksanaan.

“Ia tidak termasuk pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion dan terkini PEMERKASA bernilai RM20 bilion,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top