'Patung bernyawa' DR Congo kembali ke stadium ketika lawan Colombia

'Patung bernyawa' DR Congo  kembali ke stadium ketika lawan Colombia

London: Michel Mboladinga biasanya sentiasa berada di barisan depan apabila DR Congo tampil di pentas antarabangsa tetapi ketika Yoane Wissa menjaringkan gol pertama Congo dalam sejarah Piala Dunia untuk mengikat Portugal 1-1, beliau langsung tidak kelihatan.

Penyokong yang terkenal dengan gelaran ‘patung bernyawa’ juga dikenali sebagai Lumumba Vea itu terlepas aksi peringkat kumpulan di Houston selepas diarahkan menjalani kuarantin selama 21 hari susulan penularan wabak Ebola.

Mboladinga kini menjadi antara penyokong bola sepak paling dikenali dunia selepas sering disorot kamera ketika Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) hujung tahun lalu.

Dengan penampilan kemas dan unik, beliau berdiri tegak tanpa bergerak sepanjang perlawanan, malah sanggup kekal begitu selama 120 minit jika diperlukan.

Dengan tangan kanan diangkat, aksi itu merupakan penghormatan kepada Perdana Menteri pertama DR Congo, Patrice Lumumba, serta monumen terkenal yang dikaitkan dengannya.

Selepas mendapat perhatian besar daripada komuniti bola sepak dunia, Mboladinga turut dinamakan sebagai sebahagian daripada delegasi rasmi Piala Dunia.

Wabak Ebola yang menyebabkan kuarantin itu dilaporkan berpunca daripada strain virus yang jarang berlaku dan mempunyai kadar kematian sekitar 25 peratus dalam kalangan yang dijangkiti.

Namun ada berita baik apabila tempoh kuarantin Mboladinga dijangka tamat sebelum aksi seterusnya menentang Colombia pada 23 Jun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top