PRK Kemaman: 'Mari awal dok bolok'

PRK Kemaman: 'Mari awal dok bolok'

am@hmetro.com.my

Chukai: Pasangan suami isteri menjadi pengundi terawal yang beratur di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail 1 untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, hari ini.

Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan kesemua 49 pusat mengundi dibuka pada jam 8 pagi, namun Kasmani Che Mat, 61 dan pasangannya tiba di pusat mengundi berkenaan sejak jam 7.30 pagi.

Kasmani berkata, ia adalah rutinnya setiap kali pilihan raya berlangsung kerana tidak mahu beratur panjang terutamanya dalam cuaca tidak menentu di Kemaman.

“Memang dari muda saya menjadi yang terawal untuk mengundi, kerana suami tidak mahu beratur panjang. Ini sarapan pun belum, sebab tidak mahu sampai lambat untuk mengundi.

“Saya bergerak dari rumah di Bukit Kuang jam 7 pagi dan saya rasa semangat untuk laksanakan tanggungjawab ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

PRK Kemaman yang ditetapkan hari ini sebagai hari mengundi menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.

Pilihan raya itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRU15, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Sementara itu, suaminya, Omar Muhamad hussin, 66, berkata cuaca tidak menentu menjadi salah satu faktor beliau mahu tiba awal di pusat mengundi.

Katanya, ini adalah hari penting kepada penduduk Kemaman dan disebabkan itu mahu menyelesaikan tanggungjawab itu secepat mungkin.

“Bila kita selesai mengundi, dapatlah lakukan pekerjaan lain pula. Keadaan cuaca yang sering hujan sejak kebelakangan ini juga menjadi salah satu faktor saya mahu mengundi awal.

‘Bak kata orang Terengganu tak nak ‘bolok’ (sesak),” katanya.

Seramai 1,598 pemilih berdaftar layak mengundi di sekolah berkenaan dengan tiga saluran mengundi disediakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, sebanyak 141,382 daftar pemilih berdaftar layak mengundi dalam PRK Kemaman.

Daripada jumlah itu, sebanyak 387 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan enam anggota tentera yang layak mengundi awal pula diarahkan melakukan undian secara pos pada 23 dan 24 November lalu.

Selain itu, hanya tiga individu yang juga masing-masing pasangan kepada tentera melakukan undi awal pada 28 November lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top