Dilema empat beranak tiada MyKad berakhir

Dilema empat beranak tiada MyKad berakhir

GEORGE TOWN – Dilema seorang ibu berusia 56 tahun serta tiga anaknya yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sejak lahir kini berakhir.

Ia berakhir selepas kesemua mereka menerima serahan MyKad oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang hari ini.

Penyerahan kad pengenalan milik S. Letchumy dari Bukit Mertajam itu diserahkan oleh Ketua Pengarah JPN, Zamri Misman di Pejabat JPN negeri di sini.

Selain itu, hari ini juga merupakan hari bersejarah bagi Letchumy dan suaminya susulan dapat mendaftar perkahwinan mengikut Akta Perkahwinan dan Perceraian (Akta 164).

Pendaftaran perkahwinan itu turut dibuat sama oleh anak pertama dan keempat bersama-sama pasangan masing-masing.

Letchumy dan suaminya turut mendaftar perkahwinan mengikut Akta Perkahwinan dan Perceraian (Akta 164).

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat JPN Pulau Pinang,  Lecthumy dilahirkan di Ladang Somme Terap Serdang Kulim, Kedah pada 10 Mei 1967 merupakan anak keempat daripada enam adik beradik kepada pasangan warganegara Malaysia.

Katanya, wanita itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sejak kecil disebabkan masalah kesempitan hidup dan keluarga yang berpindah randah selain terpisah serta terputus hubungan dengan keluarga kandung kerana dipelihara ibu bapa saudara sejak berusia sembilan tahun.

“Dilema tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu turut menyebabkan generasi seterusnya mewarisi masalah berkenaan apabila Letchumy berkahwin hanya secara adat di sebuah kuil di Serdang pada tahun 1989 dengan pasangannya A. Narayanan iaitu warga Malaysia dengan memiliki MyKad.

“Pasangan ini tidak dapat mendaftar perkahwinan kerana masalah dokumen pengenalan diri Letchumy dan rentetan itu, tiga daripada enam orang anak mereka turut mengalami masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri.

“Pertemuan semula dengan adik beradik kandung dan kesediaan mereka memberikan kerjasama serta bantuan badan bukan kerajaan (NGO), Letchumy berjaya membuat permohonan lengkap pada September lalu di Pejabat JPN Seberang Perai Tengah,” katanya.

Tambah kenyataan itu, permohonan yang diterima diproses JPN mengikut prosedur operasi standard bagi permohonan daftar lewat kelahiran.

Selain menerima MyKad anak Letchumy turut mendaftarkan perkahwinan bersama pasangannya.

Berdasarkan tempat kelahiran adik beradik, JPN membuat carian rekod kelahiran Letchumy di beberapa kawasan sekitar negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perak bagi menyemak dan membuktikan kelahiran berlaku di Malaysia selain menjalankan ujian DNA di Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk membuktikan pertalian hubungan keluarga mereka.

“Anak ketiganya yang tiada sijil kelahiran juga turut melalui prosedur sama dan diluluskan pemerolehan Sijil Kelahiran juga pada 14 September lalu manakala lima lagi anak sudah membuat permohonan memasukkan maklumat dokumen ibu ke dalam sijil kelahiran yang dimiliki sebelum ini.

“Hari ini juga merupakan hari bersejarah bagi Letchumy dan suaminya kerana dapat mendaftar perkahwinan mengikut Akta Perkahwinan dan Perceraian (Akta 164) malah pendaftaran sama turut dibuat anak pertama dan keempat bersama-sama pasangan masing-masing.

“JPN sentiasa komited dalam memastikan tiada keciciran dokumen pengenalan diri bagi rakyat Malaysia yang layak dan menyarankan individu dengan masalah berkaitan dokumen pengenalan diri sama ada sijil kelahiran, kad pengenalan, sijl perkahwinan atau kewarganegaraan bagi hadir berurusan di mana-mana kaunter jabatan seluruh negara tanpa menerusi orang tengah atau ejen,” katanya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top