Seronok berlari malam

Seronok berlari malam

asmaini@mediaprima.com.my

Wanita dan gaya hidup aktif tidak dapat dipisahkan.

Biarpun sibuk dengan kerja harian, jika ada masa terluang pasti dipenuhi dengan pelbagai aktiviti riadah yang menyihatkan badan.

Ada yang memilih aktiviti rekreasi seperti mendaki bukit atau gunung, joging di taman dan ramai juga yang memilih menyertai acara yang lebih kompetitif seperti acara berhalangan seperti Spartan serta Viper.

Selain itu, apabila ada acara maraton atau acara larian santai yang dianjurkan, ramai wanita juga tidak ketinggalan menyertainya.

Tidak hairan jika acara larian malam, Ice-Watch Colour Up the Night Run 2023 yang dibawakan secara eksklusif oleh Time Zone di bandar raya Shah Alam, Selangor, baru-baru ini turut mendapat sambutan hangat daripada peserta wanita.

Peserta, Siti Sanora Yusoff, 36, berkata, dia bersama dua lagi rakannya, Fazilah Abdul Manan dan Nur Amelia Kamal juga tidak melepaskan peluang menyertai acara larian berkenaan.

Kata Siti Sanora, sebelum ini dia dan rakan-rakan kerap menyertai aktiviti rekreasi seperti mendaki gunung.

“Larian pada sebelah malam memberi cabaran tersendiri, namun ia lebih menyeronokkan kerana cuaca yang tidak panas seperti di siang hari.

“Jika ada acara seperti ini dianjurkan, kami bertiga pasti tidak melepaskan peluang menyertainya kerana aktiviti ini bukan sahaja dapat menyihatkan badan, malah mengeratkan hubungan kami yang sentiasa sibuk dengan kerja harian,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Ice-Watch Malaysia, Datuk Seri Meer Habib berkata, pihaknya teruja dapat menganjurkan acara itu kerana ia adalah jenama warna-warni yang sinonim dengan gaya hidup aktif.

Kata beliau, berbeza dengan edisi sebelumnya, penganjuran kali keenam itu merekodkan peningkatan jumlah penyertaan iaitu melebihi 5,000 peserta.

“Sebenarnya lebih ramai yang mahu mendaftar, namun kami terpaksa hadkan jumlah peserta kerana kekangan kawasan lokasi selain mahu memastikan semua peserta selesa.

“Selain itu, kami juga mendapat permintaan untuk mengadakan larian di negeri lain seperti di Pulau Pinang dan Johor Bahru, semuanya dipertimbangkan,” katanya.

Sementara itu, pada acara sama, Meer turut melancarkan jam pintar terbaharu, Ice Smart One untuk memantau keadaan kesihatan badan yang boleh digunakan dengan telefon pintar iPhone dan Android.

Jenama itu turut melancarkan koleksi jam tangan berwarna-warni, ICE digit retro sempena acara larian terbabit.

Acara terbabit dilancarkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan hadir sama, Pengarah Time Zone Malaysia, Mirzan Meer.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top