Perintah jaga ibu bapa buat Kean Kok masuk Islam

Perintah jaga ibu bapa buat Kean Kok masuk Islam

PULAU PINANG – Rutin harian, Beh Kean Kok, 45, kerap mundar-mandir  sekitar Georgetown di sini sambil bertemu rakan-rakannya termasuk di sekitar Komtar untuk  bercerita kisah-kisah silam.

Beliau orang kelainan upaya (OKU) itu menetap di flat Padang Tembak bersama ibunya yang berusia 67 tahun mendapati ramai rakan-rakannya kini telah berhijrah dengan memeluk agama Islam.

Memulakan cerita, Kean Kok berkata, sejak lebih  10 tahun lalu, dia memang berminat mengetahui mengenai agama Islam daripada rakan-rakan mualaf  dan bertanyakan apakah kebaikan agama berkenaan.

“11 Disember lalu saya bertambah yakin untuk memeluk agama Islam setelah tercari-cari cara bagaimana hendak menjadi seorang muslim,” katanya.

Kean Kok kemudiannya melafazkan syahadah yang diajarkan oleh Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful (IKUT) Pulau Pinang, Zolkifly Md. Lasim yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Bahang di sebuah restoran di sini baru-baru ini.

IKUT merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menyantuni golongan mualaf termasuk membantu mereka menyelesaikan pelbagai masalah selain mendapatkan pekerjaan.

Menceritakan lebih lanjut, Kean Kok berkata, dia sejak kecil hidup dalam sekitar komuniti beragama Islam.

Jelasnya, antara perkara yang menarik hatinya untuk memeluk agama Islam ialah seseorang anak perlu sentiasa menjaga kebajikan ibunya walaupun dalam keadaan apa sekali pun.

“Malah Islam juga sentiasa mengingatkan saya supaya menjaga ibu  walaupun ibu berlainan agama. Ibulah segala-galanya bagi saya, ibulah juga yang menjaga saya hingga dewasa. Tanpa ibu, sudah pasti saya tidak lahir di dunia ini.

“Selagi ibu hidup, saya akan menjaganya,” kata Kean Kok yang tidak bekerja.

Beliau mendapat bantuan RM300 setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Manakala ibu Kean Kok walaupun sudah lanjut usia masih bekerja sebagai seorang promoter pakaian di sebuah pusat beli-belah.

Beliau mengambil keputusan memeluk agama Islam selepas bertemu seorang rakan mualaf, Mohd. Khang, 58, yang telah memeluk agama Islam sejak lebih tujuh tahun lalu.

“Mohd. Khang menceritakan kepada saya mengenai kebaikan Islam dan saya terus meminta dia membantu saya untuk memeluk agama Islam,” katanya.

Sementara itu, Zolkifly berkata, IKUT mulai 13 Disember lalu telah menghantar Kean Kok mengikuti kelas fardhu ain dalam bahasa Hokkien di Bayan Baru.

“Kelas itu akan diadakan beberapa siri bagi memberi kefahaman lebih jelas kepada Kean Kok mengenai agama Islam selain akan didaftar mengikuti kelas anjuran Jabatan Agama Islam Pulau Pinang,” katanya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top