Kuala Lumpur: Pasangan warga Eropah ditahan polis susulan penemuan ganja di sebuah kondominium di Jalan Segambut di sini, hari ini.
Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menyerbu kediaman itu sebelum menahan lelaki warga Perancis berusia 30 tahun dan wanita Denmark, 35, pada 12 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam serbuan itu polis merampas ganja seberat dua gram bagi membantu siasatan.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis Tetra Hhydrocannabinol (THC), manakala wanita itu negatif penggunaan sebarang bahan terlarang.
“Wanita itu direman sehari, manakala lelaki terbabit pula direman empat hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.




