am@hmetro.com.my
Besut: Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara lima dan enam tahun berserta sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana melakukan samun dengan bersenjata parang.
Tertuduh, Muhammad Aidil Adhar Rozi, 24, dihukum penjara enam tahun dan tiga sebatan, manakala Noorhermie Mazuki, 35, dihukum penjara lima tahun serta dua sebatan.
Hukuman diputuskan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud selepas kedua-dua tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam dua prosiding berasingan.
Mengikut pertuduhan, Noorhermie didakwa merompak dengan bersenjatakan sebilah parang terhadap seorang wanita serta mengambil wang tunai kira-kira RM800, di kedai runcit di Jalan Pengkalan Nyireh dekat Kampung Raja pada 12.24 tengah malam, 7 Julai lalu.
Kesalahan didakwa mengikut mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 14 tahun, serta boleh didenda atau dikenakan sebatan jika disabitkan.
Sementara itu, Muhammad Aidil Adhar pula didakwa bersama seorang yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan sebilah parang terhadap seorang wanita dan mengambil wang tunai kira-kira RM500 di kedai runcit di Jalan Gertak Seratus, Kampung Alor Peroi, Kuala Besut pada 1.54 pagi, 29 Jun lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Akmal Mohd Jazlee.
© New Straits Times Press (M) Bhd




