Impian skuad wanita negara ke separuh akhir berkecai

Impian skuad wanita negara ke separuh akhir berkecai

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Harapan skuad wanita negara untuk mara ke separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya berkecai selepas tewas 1-2 kepada Korea Selatan dalam aksi Kumpulan A di Stadium Green Prefektur Gifu, hari ini.

Park Seungae membuka tirai jaringan Korea Selatan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-15 sebelum An Sujin menggandakan kelebihan pada minit ke-29.

Nurmaizatul Hanim Syafi bagaimanapun merapatkan jurang buat Malaysia menerusi pukulan sudut penalti pada minit terakhir permainan (60).

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia mencatat kekalahan kelapan dalam 10 pertemuan menentang Korea Selatan sejak Kelayakan Olimpik di Victoria, Kanada pada 2008.

Skuad kendalian CR Kumar menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan tiga kemenangan dan dua kekalahan untuk menduduki tempat ketiga Kumpulan A.

Malaysia yang kini berada di ranking ke-21 dunia akan meneruskan cabaran dalam aksi penentuan tempat kelima hingga kelapan.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sebelum ini meletakkan sasaran kepada jurulatih dari India itu untuk membantu skuad wanita negara menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik.

Malaysia menamatkan saingan di tempat kelima dalam lima edisi Sukan Asia berturut-turut sejak 2006 di Doha.

Korea Selatan yang berada di ranking ke-17 dunia akan menentang juara Kumpulan A, India pada separuh akhir, manakala juara bertahan China akan berdepan Jepun dalam satu lagi aksi separuh akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top