Henti watak pembuli diangkat sebagai 'hero'

Henti watak pembuli diangkat sebagai 'hero'

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Cadangan meminta dihentikan drama serta filem mempromosikan budaya buli bagi mengelak kesan ‘copycat’ atau peniru mendapat pelbagai reaksi daripada penggiat seni tempatan.

Penerbit Million Pictures Sdn Bhd, Faizatul Hasanah Hussain atau dikenali Hana Hussain, menjelaskan penerbit tempatan sering berada dalam dilema berikutan kebanyakan stesen televisyen (TV) mengikut ‘demand’ serta trend semasa.

“Drama Korea menjadi trend yang mendorong stesen TV Malaysia menyelitkan babak sebegitu untuk tujuan kesedaran. Bagi masa akan datang, lebih baik dibuat secara ‘one off’ berbanding drama siri berpanjangan.

“Saya percaya tindakan buli yang berlaku sekarang bukan datang dari drama tempatan kerana kita ada Lembaga Penapisan Filem (LPF). Drama luar sudah pasti ditayang menerusi platform penstriman,” katanya.

Sementara itu, pengarah terkemuka, Eoon Shuhaini, tidak menafikan karya seni mempunyai pengaruh kuat terhadap golongan muda dan menyeru agar pengkarya lebih berhati-hati apabila memaparkan watak ‘taiko’ atau ‘gangster’.

“Kita bukan mahu hentikan filem tentang buli, tetapi kita mahu hentikan cara penceritaan yang menjadikan buli sebagai sesuatu yang hebat.

“Cerita boleh menghiburkan, tetapi jangan sampai hiburan kita menjadi inspirasi kepada anak muda untuk meniru,” katanya.

Pengarah dan penerbit, Heykal Hanifah, pula menegaskan bahawa medium drama atau filem tidak sepatutnya dipersalahkan secara bulat-bulat.

Bagi Heykal, cadangan menghentikan sepenuhnya karya berasaskan isu buli adalah kurang sesuai, sebaliknya pengkarya perlu lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan mesej.

“Yang salah ialah orang yang menyalahgunakan media ini dengan membuat cerita buli dan menjadikan pembuli sebagai idola.

“Kita tidak boleh salahkan media, cuma pengkarya kena bertanggungjawab. Stesen TV juga perlu mengambil peranan menapis skrip dengan teliti bersama panel yang berilmu agar impak positif diperlihatkan sejak awal penceritaan,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi mendia sosialnya memberi cadangan agar dihentikan drama serta filem mempromosikan budaya buli bagi mengelak kesan ‘copycat’ atau peniru.

Perkara itu dipercayai timbul susulan insiden tragis membabitkan pelajar sekolah menengah yang dilaporkan meninggal dunia didakwa akibat kes buli, baru-baru ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top