Kemenangan jadi bekalan hadapi Thailand – Tan Cheng Hoe

Kemenangan jadi bekalan hadapi Thailand – Tan Cheng Hoe

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kemenangan bergaya 4-0 ke atas Laos bukan saja menghadiahkan tiga mata berharga kepada Harimau Malaya, malah menjadi suntikan moral terbaik buat skuad negara sebelum mengharungi ujian lebih getir menentang Thailand dalam aksi Kumpulan B Piala ASEAN 2026, Sabtu ini.

Jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe melihat prestasi dipamerkan anak buahnya semakin meningkat apabila berjaya mengekalkan rentak kemenangan selain mempamerkan persefahaman yang lebih baik berbanding aksi terdahulu.

Katanya, walaupun Laos memberikan tentangan terutama pada babak pertama, skuad negara tetap berjaya mengawal permainan sebelum memastikan kemenangan meyakinkan di laman sendiri.

“KIta dapat meneruskan momentum yang ada dan pasukan menunjukkan persefahaman yang lebih baik. Tiga mata ini akan menjadi motivasi terbaik untuk kita menghadapi perlawanan seterusnya.

“Kita ada dua hari lagi untuk menjalankan persiapan sebelum berdepan Thailand nanti,” katanya.

Pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Malaysia membuka tirai jaringan menerusi ketua pasukan, Paulo Josue pada penghujung babak pertama sebelum Endrick Dos Santos menggandakan kelebihan sejurus selepas rehat.

Laos kemudian terus tertekan apabila pertahanan mereka, Viengxay Sitdavong tertampan bola ke gawang sendiri sebelum pemain tengah, Wan Ahmad Kuzain Wan Kamal melengkapkan kemenangan bergaya Harimau Malaya menerusi sepakan percuma pada penghujung perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia mengumpul enam mata maksimum hasil dua kemenangan berturut-turut selepas sebelum ini menewaskan Myanmar 2-1 pada aksi pembukaan, sekali gus meletakkan skuad negara dalam kedudukan terbaik untuk memburu slot ke separuh akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top