syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) merekodkan keuntungan bersih RM25.33 juta bagi tahun kewangan terkini sekali gus mencerminkan prestasi perniagaan yang terus kukuh serta keyakinan tinggi ahlinya terhadap pengurusan persatuan.
Pengerusi Lembaga Pengarah NEKMAT, Abdul Hamid Bahari berkata, selain keuntungan memberangsangkan itu, modal syer persatuan turut meningkat kepada RM31.48 juta hasil sokongan berterusan ahli di seluruh negara.
“Kejayaan komersial NEKMAT turut diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif kebajikan termasuk penyaluran RM300,000 kepada Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM) pada tahun lalu yang memberi manfaat kepada komuniti nelayan.
“Pada 2025, seramai 437 anak nelayan menerima Bantuan Pendidikan institusi pengajian tinggi (IPT) berjumlah RM210,850, selain RM22,809 disalurkan menerusi Anugerah Pelajar Cemerlang dan Ibu Bapa Mithali, manakala sumbangan zakat sebanyak RM41,000 turut diberikan kepada golongan asnaf dalam kalangan nelayan,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan NEKMAT Ke-41 di sini, malam ini.
Program yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu itu turut dihadiri oleh, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Luqman Ahmad serta Ketua Pengarah LKIM merangkap pendaftar Persatuan Nelayan Malaysia, Datuk Dr Abdul Salim Tajudin.
Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, bagi memastikan kelestarian ekonomi persatuan, NEKMAT kini melaksanakan beberapa projek strategik termasuk projek ternakan udang di Badong, Pekan, pembelian 56 unit Micro Suites di Residensi Brisdale, pembinaan kapal ponton bagi pengangkutan diesel nelayan serta pembangunan tanah seluas 95 ekar (38.45 hektar) di Pulau Meranti yang dianggarkan bernilai RM1.2 bilion.
“Saya mengambil kesempatan ini memohon kerajaan mengekalkan subsidi diesel kepada nelayan termasuk Bot Laut Dalam (Gred C2) kerana peningkatan kos bahan api menyebabkan sebahagian bot memilih untuk tidak turun ke laut, sekali gus dikhuatiri menjejaskan pendaratan ikan negara serta rantaian bekalan protein tempatan,” katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, keuntungan melebihi RM25 juta yang dicatatkan NEKMAT pada 2025 berbanding RM11 juta pada tahun sebelumnya membuktikan kecekapan pengurusan persatuan dalam memajukan sektor perikanan negara.
“NEKMAT memainkan peranan amat penting dalam membela nasib warga nelayan, termasuk melaksanakan pelbagai program dan projek ekonomi.
“Antara projek utama NEKMAT termasuklah pembekalan minyak diesel bersubsidi kepada nelayan sejak tahun 1987.
“Kini, dengan kuota subsidi sebanyak 49 juta liter sebulan, NEKMAT terus memastikan keperluan bahan api nelayan dipenuhi secara efisien dan berkesan,” katanya.
Menurutnya, usaha NEKMAT meneroka projek pembangunan hartanah, stesen minyak, pembinaan kapal ponton pengangkut diesel, pembelian hartanah strategik dan penyediaan kemudahan logistik adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan dalam memastikan keterjaminan makanan negara.
Beliau berkata, kerajaan turut menyambut baik kerjasama strategik antara NEKMAT dan Prosper Sunshine Sdn Bhd dalam pembangunan perumahan untuk warga nelayan serta mahu NEKMAT memainkan peranan sebagai peneraju industri perikanan laut dalam.
Katanya, cadangan projek dan program pembangunan persatuan nelayan yang dikemukakan NEKMAT akan dibawa kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan dalam perbincangan Bajet 2027 sebagai antara keutamaan KPKM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




