Rakyat Malaysia di Jepun dinasihat waspada susulan gempa bumi bermagnitud 7.1

Rakyat Malaysia di Jepun dinasihat waspada susulan gempa bumi bermagnitud 7.1

Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia di Jepun dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan memantau rapi perkembangan keadaan setempat susulan gempa bumi berukuran 7.1 pada skala Richter yang menggegar Wilayah Kumamoto di Pulau Kyushu.

Kedutaan Besar Malaysia di Jepun dalam satu makluman di laman Facebook turut menasihati rakyat Malaysia supaya merujuk laman sesawang Agensi Meteorologi Jepun (JMA) di www.jma.go.jp/jma/index.html bagi mendapatkan maklumat terkini, amaran dan nasihat keselamatan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi kedutaan menerusi talian +81 3 3476 3840 (waktu pejabat), +81 70 1471 9756 (selepas waktu pejabat), atau e-mel di mwtokyo@kln.gov.my atau consular.tyo@kln.gov.my.

Agensi berita Jepun Kyodo News melaporkan bahawa amaran tsunami telah dikeluarkan bagi kawasan Laut Ariake dan Laut Yatsushiro susulan gempa berkenaan, namun amaran itu ditarik balik kemudiannya.

Ramai dikhuatiri cedera manakala pihak berkuasa giat menilai tahap kerosakan berikutan laporan kejadian bangunan runtuh, kebakaran, gangguan bekalan elektrik dan gangguan lalu lintas akibat gempa bumi berkenaan.

Pada sidang media, agensi cuaca tempatan menggesa orang ramai agar sentiasa berjaga-jaga terhadap potensi gempa bumi dengan keamatan yang serupa dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Agensi itu turut memberi amaran risiko strok haba memandangkan suhu di Kumamoto dijangka mencecah 35 darjah Celsius atau lebih tinggi, lapor agensi berita itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top