Madrid: Bintang Sepanyol, Marc Cucurella menunaikan janji istimewa selepas mengabadikan wajah ketua jurulatih Luis de la Fuente sebagai tatu pada lengannya susulan kejayaan La Roja menjulang trofi Piala Dunia 2026.
Pertahanan kiri berusia 28 tahun itu sebelum ini berjanji akan membuat tatu wajah De la Fuente sekiranya Sepanyol berjaya memenangi kejohanan berprestij itu.
Janji tersebut menjadi kenyataan selepas Sepanyol menewaskan Argentina 1-0 dalam aksi final Piala Dunia di New Jersey pada 19 Julai lalu untuk merangkul gelaran dunia kedua selepas kejayaan pertama pada 2010 di Afrika Selatan.
Cucurella berkongsi gambar tatu baharunya menerusi media sosial dengan kapsyen ringkas “janji ditepati”.
Dalam tatu itu, De la Fuente digambarkan memakai sut sambil memegang trofi Piala Dunia, satu simbol kejayaan besar jurulatih berusia 65 tahun itu bersama Sepanyol.
Tindakan unik Cucurella mendapat perhatian rakan sepasukan apabila Mikel Merino menyifatkannya sebagai “bersejarah”, manakala bintang tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz turut memuji hasil tatu tersebut.
Cucurella menyertai Real Madrid daripada Chelsea sebelum aksi pertama Sepanyol di Piala Dunia menentang Cape Verde yang berakhir seri tanpa jaringan.
Namun, De la Fuente menyifatkan keputusan itu sebagai pencetus semangat buat pasukan sebelum mereka bangkit melakar kejayaan menjuarai Piala Dunia.
Sejak mengambil alih tugas menggantikan Luis Enrique pada 2022, De la Fuente berjaya membawa Sepanyol menjulang Euro 2024, Liga Negara-Negara UEFA 2023 dan kini melengkapkan koleksi dengan kejuaraan Piala Dunia 2026 bersama La Roja.
© New Straits Times Press (M) Bhd




