Terap budaya integriti dalam kerjaya kepolisan- Polis KL

Terap budaya integriti dalam kerjaya kepolisan- Polis KL

KUALA LUMPUR : Kerja kepolisan menuntut pegawai dan anggota sentiasa mengamalkan budaaya integriti bagi melambangkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang baik.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengingatkan demikian kepada pegawai dan anggotanya nya agar mengutamakan budaya tersebut dalam menjalankan tugas yang dipertanggunghjawabkan dengan penuh integriti.

Beliau berkata, seramai 31 anggota dan pegawai polis Kuala Lumpur telah dibuang kerja atas pelbagai kesalahan sejak Januari hingga November lalu.

Kata beliau, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu seramai 41 orang.

ALLAUDEEN Abdul Majid memeriksa perbarisan pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di IPK Kuala Lumpur, -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

“Sentiasalah menjalankan tugas dengan berintegriti kerana budaya kerja tersebut  bukan sahaja mencerminkan imej seseorang pegawai dan anggota polis malah ia melambangkan identiti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita merupakan barisan hadapan  bagi pasukan PDRM untuk berhadapan masyarakat, oleh itu sangat penting bagi pegawai dan anggota untuk meningkatkan disiplin, melaksanakan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut beliau, secara umumnya beliau berpuas hati dengan prestasi kerja anggota dan pegawainya sepanjang tahun ini yang rata-rata berjaya melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan ke atas mereka.

Katanya, seramai 93 anggota dinaikkan pangkat daripada korperal kepada sarjan manakala 34 anggota dinaikkan menjadi sarjan mejar.

“Kenaikan pangkat bukanlah suatu kemegahan sebaliknya merupakan suatu amanah dan tanggungjawab yang berat untuk dipikul. 

“Justeru, pikullah amanah dan tanggungjawab ini sepenuh hati dan berkhidmatlah dengan profesional serta integriti yang tinggi setiap masa,” jelasnya. –UTUSAN

Scroll to Top