Man City, Southampton tempah tiket separuh akhir

Man City, Southampton tempah tiket separuh akhir

LONDON: Usaha Manchester City mencari empat kejuaraan masih kekal selepas mengetepikan Everton 2-0 untuk mara ke separuh akhir Piala FA awal pagi tadi ketika Southampton juga menempah tiket ke kelompok empat terakhir.

City jauh daripada prestasi sebenar mereka di Goodison Park, namun gol dalam enam minit terakhir daripada Ilkay Gundogan dan Kevin De Bruyne menempatkan City di separuh akhir buat kali keempat dalam lima musim.

Pep Guardiola menyifatkan pertembungan itu sebagai paling mencabar dilalui skuadnya sejak November ketika mereka mencatatkan kemenangan ke-25 dalam semua 26 perlawanan.

“Ia adalah perlawanan paling mencabar sejak rehat saingan antarabangsa terakhir. Kami menakjubkan dalam aspek keputusan dan persembahan (dalam tempoh berkenaan),” kata Guardiola.

“Malam ini sangat sukar, mereka ada pemain berpengalaman dan dua bersedia untuk serangan balas pantas.

“Ia komitmen yang menakjubkan daripada pemain saya. Kemenangan menakjubkan.”

City menang tiga kejuaraan domestik membabitkan Liga Perdana, Piala FA dan Piala Liga buat pertama kali dalam sejarah bola sepak England dua musim lalu dan kini menjadi pilihan untuk mengulangi pencapaian berkenaan.

Skuad kendalian Guardiola kini mencipta jurang 14 mata di persada Liga Perdana, akan berdepan Tottenham dalam final Piala Liga bulan depan dan diundi menentang Borussia Dortmund pada suku akhir Liga Juara-Juara.

Sementara itu Southampton mengetepikan pergelutan mereka dalam Liga Perdana selepas mengatasi Bournemouth 3-0 seterusnya mara ke separuh akhir.

Skuad kendalian Ralph Hasenhuttl kini berada dalam zon penyingkiran Liga Perdana selepas tewas 10 daripada 12 saingan kelas utama itu.

Namun skuad Saints sudah biasa melalui ranjau Piala FA dan menempah tiket ke separuh akhir di Wembley hasil dua jaringan Nathan Redmond’ dan gol pembukaan Moussa Djenepo. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top