Irfan Zaini kongsi pengalaman filem bajet gergasi

Irfan Zaini kongsi pengalaman filem bajet gergasi

puterialia@hmetro.com.my

Petaling Jaya : Pelakon, Irfan Zaini mengakui bayaran yang diterimanya menerusi pembabitan dalam naskhah dari negara India jauh lebih tinggi berbanding industri tempatan disebabkan jurang perbelanjaan produksi yang terlalu besar.

Irfan atau nama sebenarnya, Muhammad Irfan Mohamed Zaini, 31, berkata, faktor bajet sesebuah filem di negara India yang mencecah ratusan juta ringgit menjadi punca utama kadar bayaran bagi seseorang pelakon lebih lumayan.

“Macam yang saya cakap, bajet mereka lagi besar. Jadi, memang bayaran dia jauh lebih tinggi berbanding kita.

“Saya rasa bajet filem mereka lebih kurang RM300 juta hingga RM400 juta untuk satu filem. Ini menunjukkan betapa besarnya skala filem berkenaan,” katanya ketika ditemui pada sidang media dan pelancaran treler filem terbaharu lakonannya, Terbang di Carfe, di sini, malam tadi.

Bercerita lanjut, Irfan meluahkan rasa syukur atas peluang yang diberikan memandangkan bukan mudah bagi pelakon kerdil sepertinya dari Malaysia untuk menembusi pasaran filem berskala gergasi seperti itu.

“Saya rasa artis kecil macam saya dari Malaysia ini nak masuk dalam filem itu, untuk dapat satu babak pun susah.

“Jadi, bayangkan apabila saya dah dapat satu watak dalam filem berkenaan, saya memang rasa sangat bersyukur. Bagi saya ia bukan perkara kecil.

“Saya rasa itu adalah satu pengalaman yang saya dapat belajar juga dalam sebuah set penggambaran yang besar,” kongsinya.

Dalam pada itu, Irfan menyifatkan pengalaman berada di set penggambaran berskala besar sebagai satu proses pembelajaran yang amat berharga buat kerjaya seninya.

Bagaimanapun, dia menegaskan industri perfileman tempatan juga tidak kurang hebatnya dari segi kualiti penggambaran dan tenaga kerja, biarpun beroperasi dengan bajet yang lebih kecil.

“Tetapi, set penggambaran filem Terbang ini pun tidak kurang hebatnya. Saya boleh katakan ia setaraf filem antarabangsa walaupun bajet kita lebih kecil berbanding di India.

“Saya yakin filem kita boleh sampai ke tahap itu walaupun dengan bajet yang kecil,” ujarnya.

Sebelum ini, Irfan berpeluang untuk membintangi filem Jana Nayagan bersama pelakon mega star India, Vijay serta pelakon-pelakon yang lain seperti Bobby Deol, Pooja Hegde dan lain-lain lagi.

Dalam perkembangan lain, Irfan turut membintangi filem Terbang arahan Chiu Keng Guan yang bakal ditayangkan di seluruh negara pada 17 September depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top